JOHOR BAHRU – Sinonimnya bola sepak adalah sukan untuk lelaki, bagaimanapun dua sahabat ini mempunyai cara yang tersendiri untuk terlibat dalam sukan berkenaan walaupun mereka gadis comel yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun hadapan.

Selepas dipilih menyertai Kursus Pengadil Muda anjuran Pejabat Pendidikan Daerah Johor Bahru awal tahun ini, peluang tersebut tidak disia-siakan oleh Intan Nuratiqah Azhar dan Norsazura Fazlin Bakar yang sememangnya amat meminati sukan tersebut.

Mereka yang merupakan pelajar Tingkatan 4 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Johor Jaya 1 adalah rakan sekelas telah menjadi pengadil lebih 15 perlawanan bola sepak peringkat Majlis Sukan Sekolah-sekolah Daerah (MSSD) dan Majlis Sukan Sekolah-sekolah Johor (MSSJ) sejak April lepas.

Menurut Intan Nuratiqah, tugas sebagai pengadil mempunyai potensi yang besar sekiranya dilakukan secara tekun dan serius.

“Saya memang minat dengan sukan bola sepak sejak kecil lagi. Berikutan Johor tidak mempunyai pasukan bola sepak wanita, jadi bila diberi peluang mengikuti kursus pengadil ini saya dan Norsazura Fazlin gunakannya sebaik mungkin untuk mengasah bakat kami dalam bidang ini.

“Idola kami dalam lapangan ini ialah Nurul Ain Izzati Zainal yang merupakan pengadil wanita dari Negeri Sembilan. Kami pernah menemuinya dalam satu sesi kursus di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya, Selangor," katanya.

Sementara itu, Norsazura Fazlin memberitahu, penglibatannya dalam bidang berkenaan tidak mengganggu tumpuan terhadap pembelajaran memandangkan dia hanya mengadili perlawanan pada cuti hujung minggu dan cuti sekolah.

“Syukur keluarga turut memahami minat dan memberi sokongan terhadap bidang yang baru ceburi ini yang tidak sampai setahun lagi. Malah mereka (keluarga) yang menghantar kami mahu ke mana-mana sama ada mengikuti kelas dan sebagainya,” katanya.

Akui pelbagai cabaran terpaksa ditempuh, namun ia dianggap sebagai pengalaman berharga untuk mematangkan diri kerana mahu menjadikan profesion pengadil itu sebagai kerjaya pada masa akan datang.

“Kami pernah dimarahi pemain dan berhadapan dengan situasi yang tegang apabila menjadi pengadil untuk perlawanan veteran. Walau bagaimanapun, kami cuba mengawal emosi dan bersabar untuk mengawal suasana tersebut,” katanya yang memberitahu turut berjoging untuk mengawal stamina.