Kontinjen pelayaran Terengganu berjaya mempertahankan kejuaraan buat kali kedua berturut-turut setelah mengutip empat pingat emas, masing-masing satu gangsa dan perak pada Kejohanan Perahu Layar, Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2018 yang melabuhkan tirainya di Pusat Latihan Perahu Layar Kebangsaan,  Langkawi, Kedah  kelmarin.

Perlumbaan yang berlangsung selama seminggu itu menyaksikan sebanyak 15 pasukan negeri bertanding dalam 13 acara melibatkan kategori penaja, berpasukan dan individu.

Naib juara kejohanan menjadi milik pasukan Sabah dengan meraih tiga emas, empat perak dan tiga gangsa, manakala kem Pulau Pinang sekadar berpuas hati dengan kedudukan ketiga setelah mengumpul tiga pingat emas.

Aksi saingan pada hari keempat kejohanan yang berlangsung dengan cabaran sengit daripada setiap kontinjen negeri bertanding.

 

Empat pingat emas Terengganu disumbangkan oleh trio adik beradik, Muhammad Idris Mohd Zahawi (acara B12 optimist penaja), Umar Al-Farouk Mohd Zahawi (laser radial lelaki individu) dan Muhammad Khaidir Mohd Zahawi  (individu optimis B15) sekaligus menjuarai acara optimis berpasukan.

Pingat perak pula diraih menerusi Nuratikah Mohd Din dalam acara laser radial individu perempuan manakala Muhammad Idris turut menyumbangkan pingat gangsa dalam acara individu optimist B12 lelaki.

Pelayar terbaik keseluruhan  lelaki dan perempuan menjadi milik atlet dari Sabah, Muhammad Asnawi Iqbal Adam dan Nurul Shazwanie Saad (Pulau Pinang) manakala pelayar terbaik kategori laser dimenangi oleh Muhammad Afiq Adam (Sabah) serta Nurul Shazwanie bagi kategori optimist.

Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Adun Kuah, Nor Saidi Nanyan.

 

Barisan atlet perahu layar Terengganu yang menyumbangkan pingat buat pasukan merakam kenangan pada majlis penyampaian hadiah Kejohanan Perahu Layar MSSM 2018 di Langkawi, Kedah.

 

Misi pertahan kejuaraan

Sementara itu pengurus pasukan perahu layar Terengganu,  Hazanizam Hashim mengakui berbangga apabila barisan atlet yang dipertaruhkan pada edisi kali ini berjaya mengulangi kejayaan musim lalu untuk merangkul kejuaraan buat kali kedua berturut-turut.

Menurutnya, walaupun sekadar meraih empat pingat emas berbanding lima pingat emas musim lalu namun 16 atlet diberi kepercayaan untuk membawa misi penting Terengganu berjaya melakukannya dengan cemerlang.

“Jika diikutkan kita mampu untuk menyamai kutipan pingat emas sebagaimana musim lalu, bagaimanapun atlet yang dipertaruhkan dalam acara laser radial lelaki penaja kerana atlet terbabit mengharungi kejohanan di Singapura pada tarikh yang sama.

“Apa pun saya amat berpuas hati dengan pencapaian atlet musim ini dan kejayaan ini adalah hasil daripada program latihan berterusan yang diadakan sejak penghujung tahun lalu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

 

Atlet Terengganu mengaminkan doa sebelum mereka memulakan perlumbaan sepanjang kejohanan berlangsung di di Pusat Latihan Perahu Layar Kebangsaan, Langkawi, Kedah.

Tingkat prestasi atlet Sukma

Dalam pada itu, Hazanizam berkata, hampir 80 peratus  atlet yang menyertai kejohanan pada kali ini merupakan pelayar yang bakal membawa cabaran Terengganu pada temasya Sukma di Perak September depan.

Katanya, penyertaan pada kejohanan ini juga menjadi medan terbaik buat mereka untuk mempertingkatkan lagi prestasi masing-masing menjelang aksi sebenar pada Sukma Perak nanti.

“Malah sebahagian besar daripada atlet ini akan menyertai satu lagi kejohanan Regata Antarabangsa di Johor bulan depan sebelum mereka meneruskan perlumbaan ke Thailand selepas itu.

“Justeru saya berharap mereka dapat terus bekerja keras sekaligus meneruskan momentum kemenangan  masing-masing dalam setiap kejohanan yang bakal disertai nanti,” katanya.