Menjadikan pemain kriket Pakistan sebagai idola, bakat pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Banting ini semakin menyinar dalam sukan itu.

Tidak hairanlah Waqar Ahmad Emran digelar ayam tambatan sekolah itu apabila dia makin menonjol setiap kali beraksi di padang hingga berjaya membawa pasukan ke peringkat daerah dan negeri.

“Saya minat dalam sukan sejak di bangku sekolah lagi, ketika itu saya aktif dalam sukan olahraga dan kriket.

“Saya pernah menjadi johan acara lembing dan memecah rekod kejohanan serta naib johan acara melempar cakera daerah kategori L3,” katanya.

Selain itu, dia juga pernah dinobat johan acara merejam lembing dalam kejohanan olahraga dan padang MSSS 2017.

Bagaimanapun katanya, minat pada sukan kriket lebih mendalam kerana banyak menyertai kejohanan kriket ketika di sekolah rendah.

“Mungkin disebabkan kekuatan tangan yang saya dimiliki membuatkan saya menonjol dalam sukan kriket selain olahraga lain yang menggunakan keupayaan serupa,” katanya.

Waqar ketika membuat balingan ketika latihan.

 

Selalu ikut perkembangan idola

Disebabkan terlalu minat dengan pemain idolanya, dia sentiasa menonton pasukan perlawanan yang disertai pasukan kegemarannya di YouTube.

“Saya kagum dengan pemain Pakistan, Shahid Afridi.. dia punya bakat luar biasa dan tidak mudah berputus asa.

“Saya selalu tengok di YouTube cara Shahid Afridi bermain dan meneliti teknik serta taktik yang digunakan ketika perlawanan,” katanya yang sentiasa murah dengan senyuman.

Kata Waqar, ketepatan pukulan dan kelajuan balingan Shahid Afridi amat dikagumi dan dia berharap akan mendapat skil sebegitu suatu hari nanti.

Ingin menjadi pemain bertaraf dunia

Waqar menanam azam untuk menjadi pemain kriket bertaraf dunia dan dikenali ramai satu hari nanti.

“Walaupun saya aktif bersukan, saya juga tidak mengetepikan pelajaran sebab untuk mengejar cita-cita saya dan menjadi pemain bertaraf dunia kita juga kena berilmu.

“Sejak itu saya berazam untuk serius dalam sukan kriket ini dan menjadi ia sebagai kerjaya utama.. saya janji pada diri untuk seimbangkan pencapaian akademik dan sukan supaya saya boleh merialisasikan cita-cita saya satu hari nanti,” katanya.

Sepanjang pembabitannya dalam sukan ini, Waqar pernah dinobat pemain terbaik keseluruhan dan pemukul terbaik dalam kejohanan Kriket Schools Champions 2017 Kebangsaan.

Lebih membanggakan, dia turut membantu Pasukan SMK Bandar Banting mendapat tempat ke-3 sebagai Sekolah Terbaik Kriket Malaysia.

“Saya akan jadikan kejayaan hari ini sebagai pembakar semangat untuk berjaya pada masa hadapan,” katanya.

Katanya, seperti juga ahli sukan yang lain dia sangat takut kalau-kalau mengalami kecederaan kerana khuatir tidak dapat beraksi pada perlawanan seterusnya.

“Bagi mengelakkan saya cedera ketika latihan mahupun perlawanan, saya cuba sehabis baik memantapkan kemahiran dan mengatasi kelemahan.. saya akan berusaha hingga layak mewakili Malaysia dalam Sukan Sea nanti,” katanya.

 

 

Yakin masa depan cerah

Sementara itu, Pengurus Pasukan Kriket Schools Champions SMK Bandar Banting, Hashim Saidin berkata, beliau menyifatkan Waqar sangat berbakat dan berpotensi serta boleh pergi jauh dalam sukan kriket ini.

“Saya lihat Waqar ada banyak kelebihan.. terutama pada kekuatan tangannya sangat membantu dia dalam sukan ini dan Waqar juga sentiasa ada peningkatan terutama dari segi teknik.

“Dia juga seorang yang berdisiplin,menghormati guru dan tidak mudah putus asa.. inilah ciri atlet yang kita cari,” katanya.

Menurut Hashim, beliau yakin Waqar akan menyerlah suatu hari nanti dan mampu menempatkan nama ke peringkat yang lebih tinggi jika dia terus fokus dan kekalkan displin dalam sukan ini.

“Jika dia kekal dengan prestasi yang baik seperti itu, saya yakin dia akan berjaya dan menjadi atlet kebanggaan negara suatu hari nanti,” katanya.

Namun, saya tidak mahu dia berada dalam zon yang terlalu selesa, sebaliknya mahu Waqar terus meningkatkan prestasi dan mempergiatkan lagi latihan serta mengasah skil supaya pencapaiannya akan terus meningkat dari masa ke masa.

“Dengan pencapaian setakat ini saya bangga dengan prestasi Waqar dan ahli pasukan yang lain.

Saya cuba sehabis baik melatih mereka dan berusaha menyumbang seberapa banyak atlet untuk mewakili Selangor terutama ke Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM).

“Besar harapan saya agar Waqar dapat mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa satu hari nanti,” katanya.