Minat dengan sukan dan memiliki bentuk fizikal yang agak besar mencetuskan dorongan kuat kepada gadis kelahiran Selangor ini untuk menawan dunia dalam sukan yang diceburi.

Ini azam pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 11, Shah Alam,  Yasmin Nadia Ishak yang kini bergiat aktif dalam sukan lontar peluru, lempar cakera dan lembing.

Walaupun sedang bergelut dengan peperiksaan SPM namun kerana minat dan ingin berkongsi dengan semua, dia sudi ditemubual GPSBestari.

“Masa saya sekolah rendah saya main lontar peluru sahaja.. cikgu pun pilih saya untuk wakil sekolah acara lontar peluru sebabkan saya berbadan besar.

Yasmin Nadia Ishak  yang mesra dengan panggilan Yasmin, menganggap  memiliki saiz badan yang sangat diperlukan dalam sukan ini merupakan satu bonus untuknya menjadikan lebih berusaha kuat untuk berjaya.

“Dari dulu lagi saya nak jadi pemain kebangsaan dalam apa jua acara sukan dan ingin jadi kebanggaan keluarga sekali gus mengharumkan nama negara.

“Ketika bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Puchong (2), saya main lontar peluru.. saya masih ingat masa tu saya tahun empat,” katanya.

Disebabkan prestasi memberangsangkan ketika di sekolah rendah, dia kemudiannya dapat tawaran memasuki SMK Seksyen 11.

 

Berlatih di gim setiap hari

Katanya, faktor ketinggian dan bersaiz besar amat penting dalam sukan ini untuk membuat lontaran yang baik.

“Untuk sukan ini ketinggian juga memainkan peranan penting untuk membuat lontaran yang baik kerana dengan ketinggian pemain dapat membuat sudut lontaran yang lebih baik berbanding pemain rendah.

“Mungkin juga disebabkan kekuatan otot tangan yang saya miliki membuatkan saya menonjol dalam sukan lontar peluru dan olahraga lain yang menggunakan keupayaan serupa,” katanya.

Tambah Yasmin lagi, ketika masuk di sekolah sukan SMK seksyen 11 ini barulah dia mencuba sukan baru seperti lempar cakera dan lontar lembing setelah mendapat latihan yang khusus daripada jurulatih ketika di tingkatan dua.

“Teknik dan taktik bermain cakera serta  lembing hampir sama dengan lontar peluru cuma yang paling penting kekuatan otot.

“Untuk mendapat kekuatan otot, saya berlatih dan melakukan senaman di gim hampir setiap hari untuk tingkatkan kekuatan otot selain dari mengekalkan stamina,” katanya.

Menurut Yasmin badannya kini tidak lagi terlalu berisi dan dia lebih selesa dengan bentuk tubuh badannya kerana lebih mudah untuk membuat lontaran.

“Dulu memang saya agak gemuk.. berat badan 66 kilo tapi bagi saya saiz badan besar bukan faktor utama untuk sukan lontar peluru sebab sekarang saya masih mampu menunjukkan prestasi yang baik walaupun berat saya dah turun, dan sekarang 58 kilo.

“Bagi saya teknik dan taktik serta latihan yang kerap itu paling penting untuk kita mengusai sukan lontar peluru, cakera dan lembing,” katanya.

Kata Yasmin, dia bertuah kerana minatnya itu mendapat sokongan penuh daripada kedua ibu bapanya.

“Setiap kali saya ada perlawanan, mummy dan daddy akan datang beri sokongan.  

“Mereka juga menyokong penuh cita-cita saya untuk menjadi pemain profesional dan selalu menasihatkan saya agar belajar serta berlatih bersungguh-sungguh untuk kejar cita-cita,” katanya.

Kata Yasmin, pengalaman manis sepanjang menceburi sukan ini sangat banyak kerana dia telah beraksi dalam banyak perlawanan sejak 2013.

Namun katanya, kenangan manis ketika mendapat emas acara lempar cakera di Kejohanan MSSS 2015 dan 2017.

“Di sini, banyak perkara yang saya belajar dan terima banyak pendedahan melalui perlawanan yang saya sertai.

“Saya harap dengan pencapaian yang saya peroleh di sini akan melayakkan saya untuk ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

 

‘Saya yakin prestasi Yasmin’

Manakala ketua jurulatih olahraga (balingan dan jarak jauh), Muhammad Khubaib Ahmad Fuad berkata, apa yang penting kepada pemain adalah latihan berterusan bagi meningkatkan stamina selain memperkasakan kemahiran.

“Bagi pemain di peringkat sekolah seperti ini, mereka boleh menyertai kejohanan anjuran peringkat sekolah dan Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM).

“Saya lihat Yasmin ada banyak kelebihan.. terutama pada bentuk fizikalnya dan panjang jarinya sangat membantu dia dalam sukan ini, Yasmin juga sentiasa ada peningkatan terutama dari segi teknik,” katanya.