SEBANYAK 120 pasukan menyertai Kejohanan Hari-Hari Bola Sepak 7 Sebelah anjuran Pusat Pakaian Hari-Hari (PPHH) yang berlangsung selama dua hari di Stadium Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

Kejohanan yang berlangsung pada 10 dan 11 November lalu menyaksikan aksi sengit melibatkan dua kategori iaitu bawah 12 tahun (U12) dan bawah 10 tahun (U10).

Pengurus Besar Korporat dan Perhubungan Awam PPHH, Amilludin Latip berkata, kejohanan berkenaan merupakan kali keempat dianjurkan pusat pakaian terkemuka itu dan sambutan yang diterima dalam kalangan peserta cukup hebat.

“Ini sebenarnya kali keempat kita anjurkan kejohanan bola sepak seperti ini, awal penganjuran dahulu pada tahun 2014/2015, kita hanya mendapat penyertaan sekitar 60 pasukan sahaja, namun kali ini kita menerima sambutan hampir 120 pasukan.

“Pada dasarnya, kita lihat sukan bola sepak adalah salah satu sukan yang diminati ramai di negara kita. Justeru, PPHH menganjurkan kejohanan seperti ini sebagai platform kepada mereka di usia muda, malah ia mampu menjadi medan mencungkil bakat peserta cilik,” katanya.

Selain itu, Amilludin berkata, pihaknya merancang untuk meneruskan penganjuran kejohanan bola sepak pada tahun-tahun akan datang.

Ahli Majlis MPKj, Lee Learn Eng (dua, kiri) dan Amilludin merasmikan Kejohanan Bola Sepak 7 Sebelah.

Salah satu pasukan bersorak gembira bersama trofi kemenangan.

 

Menurutnya, pihaknya merancang untuk anjurkan kejohanan melalui konsep jelajah ke negeri lain selain mewujudkan saingan untuk kategori bawah 8 tahun (U8) pula.

“Cara ini akan lebih ramai yang dapat sama-sama menyertai, bersaing secara sihat selain dapat memupuk budaya gaya hidup bersukan,” katanya.

Penganjuran dua hari itu turut mendapat kerjasama MPKj, MPP Zon 15 dan MVP Marketing Sdn Bhd selain sokongan penaja seperti Molten dan Revive.

Sementara itu, pasukan ATTP Cougars mengungguli kategori U12 sebagai juara setelah menang tipis 1-0 pada perlawanan akhir yang memaksa Serdang Kickers FC berpuas hati sebagai naib juara manakala tempat ketiga menjadi milik pasukan Wira Semenyih SCFC yang menumpaskan Jalan Dua Team, juga dengan jumlag jaringan sama.

Bagi kategori U10 pula, pasukan ATP SPU Torpedo muncul juara setelah membenam pasukan KDFC 10 dengan keputusan 2-0 dalam aksi final manakala Rembau FC menewaskan Hulu Langat Panters 1-0 dalam aksi tempat ketiga.            
 

Gaya si cilik lagak pemain profesional menjadi tarikan lensa Sinar Harian.