KUALA NERUS - Sebanyak 25 buah sekolah di seluruh daerah ini mengambil bahagian dalam Karnival Permainan Bola Sepak Pra Sekolah yang diadakan di Sekolah Sukan Malaysia Terengganu (SSMT) minggu lalu.

Karnival yang julung kali diadakan anjuran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Nerus itu membabitkan penyertaan berskala besar bertujuan menggalakkan kanak-kanak terlibat dalam aktiviti sihat selain melahirkan pemain berbakat dalam acara sukan itu.

Pengerusi program, Hassan Embong berkata, penglibatan dan kerjasama baik semua pihak secara tidak langsung menjadikan acara itu berjalan lancar.

Menurutnya, karnival yang turut membabitkan acara bola jaring bagi kanak-kanak perempuan itu turut mendapat sambutan menggalakkan.

"Meskipun usia peserta masih terlalu muda, namun rata-rata mereka menunjukkan kesungguhan amat tinggi," katanya.

Kanak-kanak mempamerkan bakat masing-masing.

Pasukan SK Padang Air yang muncul naib juara.

 

 

Hassan berkata, dia berharap acara sebegitu dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memastikan mereka didedahkan dengan kegiatan sihat dan bermanfaat.

"Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terlibat yang secara langsung dalam karnival ini," katanya.

Tambahnya, selain memberi fokus kepada kecemerlangan akademik, kanak-kanak juga wajar diberi pendedahan dalam pelbagai aktiviti fizikal yang mampu menjadikan minda lebih cergas.

“Melalui penganjuran karnival sebegini juga secara tidak langsung dapat memperkukuhkan hubungan antara PPD dan semua sekolah di daerah ini," katanya.

Katanya, karnival yang berkonsepkan kerjasama ini memperlihatkan semua sekolah yang mengambil bahagian memberikan kerjasama yang sangat baik.

"Kerjasama baik yang ditunjukkan ibu bapa sangat positif dan diharap akan berterusan pada masa akan datang," katanya.

Sementara itu, Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Rakit muncul juara karnival futsal setelah menundukkan SK Padang Air dalam perlawanan akhir.

Pemain bergambar bersama pengadil perlawanan.

Sebahagian kanak-kanak perempuan yang mengambil bahagian dalam acara bola jaring.