SHAH ALAM - Sebanyak 32 sekolah menengah seluruh Selangor telah terpilih untuk menyertai Piala Dato' Mokhtar Dahari buat kali keempat yang bakal bermula pada 4 Mei dan berakhir 20 Mei ini.

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Permata merupakan tuan rumah pada kejohanan kali ini.

Setiap sekolah yang menyertai akan diberikan RM1,000 yang disumbangkan oleh pihak pengelola selepas pertandingan sumbangsih yang akan berlangsung pada 2 Mei di Stadium KPM SMK USJ 23, jam 2.30 petang.

Satu acara cabutan undi untuk membahagikan kumpulan telah diadakan di Auditorium Kumpulan Media Karangkraf di sini semalam dengan dihadiri 33 guru termasuk AJK pengelola kejohanan.

Perlawanan pembukaan pada tahun ini akan bermula dengan juara bertahan iaitu pasukan SMK Tinggi Kajang dengan pasukan tuan rumah SMK Sri Permata yang akan berlangsung di Stadium Kajang.

Juara bagi Piala Dato' Mokhtar Dahari ini bakal menerima RM10,000 berserta piala pusingan sumbangan Duli Yang Amat Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah manakala naib juara menerima RM7,000, tempat ketiga RM5,000 dan tempat keempat RM4,000.

Menurut Pengetua SMK Sri Permata, Jamilah Yusop, ini merupakan kali pertama sekolah menjadi tuan rumah dalam Piala Dato' Mokhtar Dahari. Pihak sekolah akan sedaya upaya melakukan yang terbaik untuk menyempurnakan segala urusan di dalam kejohanan ini.

"SMK Sri Permata mendapat tempat ketiga dalam kejohanan Piala Dato' Mokhtar Dahari  pada tahun lepas, saya berharap sekolah kami akan mendapat tempat pertama pada tahun ini," katanya lagi.

Menurut jurulatih SMK Tinggi Kajang, Mohd Suhaiziey Fauzi, "Untuk kejohanan tahun ini, saya masih berharap sekolah kami menjadi juara lagi seperti tahun-tahun lepas.

"Pasukan sekolah telah membuat persedian awal dan masih lagi meneruskan latihan untuk kejohanan ini. Pada tahun ini ada sedikit rombakan pemain, mereka yang tidak menunjukkan aksi yang baik akan digantikan dengan pemain yang lain," katanya.