KEMAMAN – Lebih 65 peratus atlet sukan yang mewakili Terengganu dalam kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) dan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) terdiri daripada pelajar sekolah dan pelbagai institusi pendidikan di negeri ini.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Shafruddin Ali Hussin berkata, kini terdapat ramai atlet negeri itu yang telah mencapai pelbagai kejayaan di bidang sukan pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Menurutnya, pembangunan sukan secara berterusan dan konsisten yang telah dijalankan di negeri ini dilihat menjadi penyumbang besar terhadap pencapaian tersebut.
"Di Terengganu, kita bernasib baik kerana kerajaan negeri menjadi penyumbang terbesar kepada pembangunan sukan ini termasuk dari segi menyediakan dana kewangan dan latihan kepakaran untuk melahirkan atlet bertaraf kebangsaan dan dunia.
"JPNT dan Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) juga sentiasa melaksanakan latihan secara berkala bagi melatih atlet negeri ini untuk mencipta kejayaan lebih cemerlang dalam Sukma dan MSST," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan hadiah pada Kejohanan Merentas Desa Peringkat Negeri Terengganu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Banggol, di sini.
Hadir sama Ketua Sektor, Sektor Pembangunan Kemanusiaan JPNT, Ngah Bidin dan Pegawai Pendidikan Daerah Kemaman, Idris Bidin.
Mengulas lanjut, Shafruddin sekali lagi menegaskan negeri ini amat bernasib baik kerana mendapat sokongan yang berterusan daripada kerajaan negeri.
"Hasrat JPNT dan kerajaan negeri adalah untuk menjadikan negeri ini sebagai pencabar utama dalam disiplin olahraga pada kejohanan Sukma dan MSSM akan datang," katanya.
Sementara itu, pada kejohanan berkenaan, seramai 278 atlet terdiri daripada pelajar sekolah menengah dan rendah dari seluruh negeri menyertai kejohanan itu yang diadakan dalam enam kategori iaitu lelaki dan perempuan bawah 12 tahun, lelaki dan perempuan bawah 15 tahun dan lelaki dan perempuan bawah 18 tahun.
Dalam kejohanan itu, kontinjen Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Kuala Terengganu muncul juara keseluruhan, diikuti Hulu Terengganu sebagai naib juara dan Kemaman tempat ketiga.
Seramai 36 atlet telah terpilih untuk mewakili negeri Terengganu ke Kejohanan Merentas Desa Peringkat Kebangsaan 2019 yang akan diadakan di Perlis pada 7 hingga 9 Mac nanti.
JPNT turut berbangga dengan pencapaian para atlet negeri dan akan melakukan latihan berterusan untuk kekal unggul dalam kejohanan Sukma dan MSSM nanti.