KEJOHANAN Skuasy Terbuka Remaja Antarabangsa Kuala Lumpur Ke-11 terus konsisten meraih penyertaan tertinggi apabila bakal disertai seramai 776 peserta dari 19 negara.

Berbanding hanya 660 peserta edisi tahun lalu, kejohanan kali ini menyaksikan ia bakal mencatat rekod penyertaan tertinggi di Asia dan kedua di dunia selepas Amerika Syarikat.

Antara negara yang menghantar wakil untuk kejohanan ini ialah Botswana, Arab Saudi, Filipina, Amerika Syarikat, Afrika Selatan, Hong Kong, Pakistan, Jepun, Mesir, Singapura, China, India, Sri Lanka, Australia, New Zealand, Korea Selatan dan tuan rumah Malaysia.

Kejohanan dari 5 hingga 10 Disember itu antara lain turut tersenarai di bawah status platinum oleh Persekutuan Skuasy Asia (ASF) sekali gus kejohanan kedua di Malaysia memperolehnya selepas kejohanan di Pulau Pinang sebelum ini.

Seperti tahun lalu, edisi kali ini masih mempertandingkan 12 kategori mengikut peringkat umur iaitu bawah 9, 11, 13, 15, 17, dan 19 tahun untuk lelaki dan wanita.

Tiga gelanggang bakal menjadi venue rasmi kejohanan ini iaitu Pusat Skuasy Nasional, Pusat Skuasy Jalan Duta dan Kelab Tasik Diraja.

Sherman Kwan, Siva Ruben, Noor Ainaa Amani Ampandi dan Sujithra Kunasekaran pemain dari SRAFT, antara nama yang bakal bersaing dalam kejohanan ini.

Bakal cipta rekod Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Steven Kwan meletakkan keyakinan tinggi kejohanan itu mampu mencipta rekod baharu Malaysia Book of Records berikutan penyertaan tertinggi diterima daripada kejohanan sukan pernah diadakan di negara ini.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Skuasy Wilayah Persekutuan (SRAFT) berkata, dengan penyertaan 776 peserta itu, ia mengatasi Kejohanan Bintang-bintang Milo 2007 disertai 695 pemain dari 16 negara sebelum ini.

“Selepas tiga tahun, kita dapat melihat penyertaan amat konsisten melepasi 600 peserta dan ini menyebabkan kejohanan ini diiktiraf Persekutuan Skuasy Asia ke status platinum berbanding status emas pada edisi terdahulu.

“Tidak cukup dengan itu, ia juga mampu tersenarai dalam Malaysia Book of Records sebagai kejohanan yang disertai paling ramai peserta dan negara yang bertanding di negara ini.

“Kami amat berbangga dengan peningkatan drastik dari tahun ke tahun dan ini akan menjadikan kami lebih komited untuk menjadikan kejohanan ini antara yang diingati peserta,” katanya.

Steven (kanan) menerima replika cek daripada Bik Soon selepas sidang media di Puchong, baru-baru ini.

Sementara itu, penaja utama kejohanan, Redtone turut menyatakan kesediaan memberi tajaan demi kemajuan skuasy negara.

Ketua pegawai eksekutifnya, Lau Bik Soon turut melaungkan keyakinan kejohanan mampu melahirkan lebih ramai pemain muda yang berpotensi menjadi juara dunia di masa depan.

“Tidak mengejutkan apabila kejohanan ini menjadi kejohanan mendapat penyertaan tertinggi di Asia dan kedua tertinggi di dunia selepas komitmen diberikan semua pihak untuk menjayakannya.

“Saya yakin, acara ini akan terus berkembang menjadi antara kejohanan yang mampu menjadi platform pemain muda negara ini mengasah bakat mereka dari awal sebelum bergelar juara dunia di masa depan,” katanya.

Untuk rekod, pada edisi ke-10 tahun lalu pemain skuasy remaja negara menyapu bersih kesemua 12 kategori yang dipertandingkan.

Edisi tahun lalu skuad negara menyapu bersih kesemua 12 acara.