PONTIAN - Akademi Bola Sepak Pontian membuktikan kemampuan mereka apabila muncul naib johan Kejohanan Bola Sepak Bawah 17 Tahun di Kuantan, Pahang, baru-baru ini.

Kejohanan anjuran Persatuan Pembangunan Akademi Bola Sepak FADA United Malaysia itu disertai kelab bola sepak dari seluruh negara.

Pengetua Akademi Bola Sepak Pontian, Rashid Selamat berkata, dia amat berpuas hati dengan prestasi pemainnya yang disifatkan cukup cemerlang sepanjang kejohanan berlangsung.

Menurutnya, Akademi Bola Sepak Pontian berjaya menewaskan pasukan B TOP dari Kelantan pada peringkat separuh akhir dengan jaringan 2-0.

“Dengan kemenangan itu, kita berjaya melangkah ke peringkat akhir.

“Namun, nasib tidak menyebelahi pasukan kami, apabila penentuan sepakan penalti berpihak kepada pasukan tuan rumah Elephant FC,” katanya.

Rashid berkata, walaupun tewas, pemain Akademi Bola Sepak Pontian, Muhamad Shazley Hariq, 16, dinobatkan sebagai pemain terbaik kejohanan.

“Enam pemain dari akademi ini turut dipilih untuk bersama-sama Persatuan Pembangunan Akademi Bola Sepak FADA United Malaysia ke Australia, untuk menjalani latihan pada Disember nanti,” katanya.