KUALA ROMPIN - Rasa cinta kepada sukan bola sepak yang mendalam sekali gus meletakkan harapan tinggi pada bakat anak-anak Felda Selendang.

Seorang aktivis sukan bola sepak, Mohd Khairil Omar, berkata, ramai anak peneroka di bawah usia 12 tahun yang mempunyai bakat terpendam dalam permainan bola sepak namun tidak diketengahkan.

Menurutnya, ia disebabkan tiada saluran atau medium yang tepat bagi mereka untuk pergi lebih jauh dalam sukan berkenaan.

Katanya, jika bakat mereka diasah dengan cara dan teknik yang betul oleh individu yang berkemahiran atau profesional, tentu ramai pelapis yang boleh bermain di pelbagai peringkat.

“Kemahiran bermain bola sepak di kalangan anak-anak peneroka perlu dicungkil dan seterusnya diasah kerana ramai di kalangan mereka mempunyai potensi yang besar dalam sukan ini.

“Dalam mencungkil bakat-bakat baharu ini, mereka memerlukan penganjuran bengkel atau kejohanan agar mereka dapat menimba pengamalan melalui permainan sebenar serta dalam masa sama belajar lebih banyak teknik bermain,” katanya yang juga bekas pemain pasukan bola sepak daerah Rompin.

Justeru beliau sentiasa terbuka dan sukarela untuk mengasah bakat selain selalu terlibat dalam penganjuran kejohanan melibatkan sukan bola sepak atau futsal.

Sebagai contoh, sebelum ini beliau bersama rakan-rakan telah beberapa kali menganjurkan kejohanan Futsal Kids berbentuk liga.

“Melalui program-program begini kita pasti akan dapat mencungkil bakat-bakat baharu, tidak perlu dianjurkan secara besar-besaran pun.

“Tidak mustahil bakat-bakat muda ini akan pergi dalam sukan ini suatu hari nanti, cuma perlukan sokongan daripada pelbagai pihak agar ia menjadi realiti,” katanya.