SELAMA - Pemilihan Sekolah Kebangsaan (SK) Selama sebagai salah sebuah lokasi penganjuran program Klinik Hoki Tenaga Nasional Berhad (TNB) membuka peluang melahirkan lebih ramai bintang hoki negara pada masa hadapan.

Impian itu dinyatakan guru besar sekolah itu, Mardiah Wahab setelah SK Selama terpilih sebagai salah satu daripada 18 sekolah angkat Pintar TNB bagi tahun 2017.

Pemilihan itu membolehkan SK Selama turut terpilih mengikuti program Pembangunan Hoki Negara yang dianjurkan oleh TNB.

Mardiah berkata, pihaknya terharu kerana dipilih TNB daripada 15 sekolah di Daerah Larut, Matang dan Selama yang mengemukakan permohonan sebelum ini untuk menjadi sekolah angkat Pintar syarikat itu.

Menurutnya, kesudian TNB turut menganjurkan klinik hoki dibimbing bekas kapten pasukan hoki negara, Nor Saiful Zaini Nasiruddin pastinya menyinari kembali potensi sukan hoki sekolah itu yang malap sebelum ini.

“Perkembangan sukan hoki ditubuhkan sejak 2012 kini agak malap setelah ketiadaan individu penting di sekolah kami.

“Alhamdulillah, kesudian TNB menaja peralatan hoki seperti 20 kayu hoki, 40 jersi pemain, 20 bola hoki dan satu set kelengkapan penjaga gol memberi sinar baharu untuk pihak sekolah kembali memartabatkan sukan itu.

“Dengan suntikan dana dan peralatan hoki berkualiti, saya mengimpikan SK Selama mampu melahirkan sekurang-kurangnya seorang bintang hoki negara pada masa terdekat," katanya pada majlis perasmian Klinik Hoki TNB 2017 di pekarangan padang sekolah itu, semalam.

Turut hadir Pengurus TNB cawangan Taiping, Mohd Rohaizan Samsuddin.\

Nor Saiful Zaini (kiri) menunjukkan teknik memegang kayu hoki yang betul kepada peserta Klinik Hoki TNB 2017 di padang SK Selama.
 

Mampu cungkil lebih ramai bakat baharu

Guru Kelab Hoki SK Selama, Mohd Akram Mohd Sabri berkata, melalui penganjuran klinik hoki itu, pihaknya yakin mampu mencungkil lebih ramai bakat baharu dalam sukan hoki.

Menurutnya, ketika ini, pasukan hoki SK Selama baru dibentuk dengan majoriti pelajar terpilih pernah mewakili sekolah dalam bidang sukan lain.

 

Mohd Akram

“Hari ini kami hantar 40 pelajar berpotensi untuk menyertai klinik terbabit.

“Saya berharap majoriti peserta dapat menerima pendedahan sepenuhnya menerusi ilmu diberikan oleh pakar permainan sukan itu sendiri," katanya.

Kata Mohd Akram, program itu sekali gus memastikan SK Selama bakal muncul sebagai sekolah yang melahirkan bakat sukan hoki terkemuka khususnya bagi zon Selama.

Sebahagian 40 peserta Klinik Hoki TNB 2017 berkesempatan mencuba peralatan hoki baharu ditaja TNB.

Dedah teknik betul kepada pelajar

Sementara itu, Pengurus Pengurusan Sukan Jabatan Hal Ehwal Korporat TNB Nor Saiful Zaini Nasiruddin berkata, pemilihan sekolah berkenaan merupakan usaha TNB untuk membangunkan sukan hoki negara.

Menurutnya, TNB antara syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang memilih sekolah bagi menggilap bakat baharu untuk diketengahkan dalam sukan hoki.

Nor Saiful Zaini yang juga bekas kapten hoki negara berkata, melalui program ini pihaknya akan memberikan pendedahan kepada murid mengenai teknik bermain hoki yang betul.

“Pendedahan sukan tersebut akan mewujudkan budaya yang sihat dalam kalangan murid kerana potensi mereka yang cemerlang boleh menjadi pelapis kepada pemain hoki negara," katanya.

Pasukan hoki perempuan SK Selama seronok mendapat bimbingan pemain kebangsaan.

Menurutnya, objektif klinik itu untuk melatih pelajar dan bersedia untuk menghadapi mana-mana pertandingan hoki.

“Kita dedahkan mereka dengan permainan hoki dan bawa mereka menyertai Karnival Hoki Pintar TNB.

“Sekolah yang dipilih itu perlu menyediakan pasukan mereka untuk menyertainya. Kita harap suatu hari nanti mereka dapat mewakili negara dalam sukan hoki,” katanya.

Ammar Zahin

Dalam pada itu, murid Tahun Lima SK Selama, Ammar Zahin Harizan mengakui teruja berkesempatan mengikuti program klinik hoki dibimbing bekas pemain ternama negara.

“Saya amat meminati sukan hoki dan berharap dapat mengikut jejak langkah Nor Saiful Zaini suatu hari nanti," katanya.

Nurul Atiqah

Bagi seorang lagi peserta, Nurul Atiqah Abd Khalim, 11, berkata, pengalaman bermain sukan hoki amat menyeronokkan.

“Dengan bimbingan teknik bermain hoki sebenar, saya berimpian untuk bermain lebih gigih dan berpeluang mewakili negara suatu hari nanti, “katanya.

Pemain hoki SK Selama gembira menerima jersi sumbangan TNB.