DUNGUN - Atlet dari sekolah seluruh daerah ini berkampung selama lima hari di padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Omar bagi menyahut cabaran dalam Kejohanan Balapan dan Padang Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Dungun kali ke-48, baru-baru ini.

Pelbagai acara dipertandingkan dan barisan pemenang akan mewakili daerah ke peringkat negeri selepas ini.

Pegawai Pendidikan Daerah Dungun, Kassim Husin berkata, kejohanan itu adalah wahana wawasan negara dalam membudayakan amalan bersukan dalam kalangan pelajar.

Menurutnya, aktiviti sukan di sekolah melengkapkan kecemerlangan sistem pendidikan bagi melahirkan modal insan seimbang dan holistik dalam semua aspek.

“Bidang sukan sudah menjadi satu kerjaya. Menerusi dasar 1 Murid 1 Sukan yang diperkenalkan, pelajar perlu melibatkan diri secara aktif bagi mencungkil bakat baru.

“Diharapkan melalui kejohanan ini, banyak rekod baru dapat dicipta dan tidak mustahil Dungun akan menjuarai kejohanan MSS Terengganu selepas ini. Kita berterima kasih kepada semua jawatankuasa pengelola yang bertungkus-lumus menjayakan kejohanan ini,” katanya.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Roslee Daud.

Secara objektifnya, MSSD memberi pendedahan kepada pelajar dan guru yang terlibat bagi menyemarakkan semangat untuk bersaing secara sihat.