HATRIK jaringan penyerang Zulfikri Muhamad membantu Sekolah Sukan Negeri (SSN) Terengganu, SMK Bukit Nenas mencatat kemenangan bergaya 4-1 ke atas SSN Kedah, SMK Tunku Anum T.A.R dalam aksi separuh akhir kedua Piala Liga Remaja KPM-FAM B-17 seterusnya melangkah ke aksi final.

Ini adalah kali keempat dalam tempoh lima tahun pasukan bimbingan Zainudin Md Zain itu melangkah ke perlawanan akhir setelah turut melakukannya ketika bergelar juara pada 2013, 2014 dan 2016.

Zulfikri meletakkan Bukit Nenas di depan pada minit ke-21, namun kedudukan itu hanya bertahan enam minit setelah Ahmad Irfan Mohd Noor menyamakan kedudukan buat Tunku Anum dan kedudukan 1-1 kekal sehingga berakhir separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Bukit Nenas tampil lebih dominan dan kembali merebut pendahuluan menerusi Hairiey Hakim Mamat pada minit ke-59.

Keghairahan Tunku Anum, juara tiga kali berturut-turut pada 2010, 2011 dan 2012 memburu gol penyamaan dimanfaatkan Zulfikri untuk meledak gol ketiga Bukit Nenas pada minit ke-71.

Pemain itu sekali lagi memahat nama dalam carta penjaring dengan melengkapkan hatriknya pada masa kecederaan sekali gus membolehkan Bukit Nenas mara dengan agregat 6-3.

Satu lagi aksi, SSN Pulau Pinang, SMK Mutiara Impian tidak berdepan masalah menyingkirkan SSN Melaka, SMK Seri Kota.

Pasukan bimbingan Noraffendi Taib itu yang membawa bekalan selesa empat gol hasil kemenangan 5-1 di separuh akhir pertama, mara dengan agregat 7-3 setelah perlawanan timbal balik di Melaka berkesudahan dengan keputusan seri 2-2.

Perlawanan akhir antara Bukit Nenas dan Mutiara Impian akan berlangsung di Stadium Mini SSMTMI, Johor pada 30 September depan.