KEJOHANAN Skuasy Remaja Kebangsaan kali ke-12 di Pusat Skuasy Jalan Duta melabuhkan tirainya Ahad lalu dengan wakil Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Darren Rahul Pragasam dan Zoe Foo Yuk Han mengungguli kategori bawah 19 tahun lelaki dan wanita selepas mengetepikan lawan masing-masing di perlawanan akhir.

Darren yang juga juara Kategori Bawah 17 Tahun di kejohanan sama tahun lalu terpaksa melalui empat set sebelum menewaskan wakil Kedah Wong Wai Hung, 11-7, 7-11, 11-5, 11-6.

Darren, 18, menyifatkan kejayaan Ahad lalu motivasi daripada kegagalan dua kejohanan sebelum ini iaitu Kejohanan Remaja Asia dan Terbuka Remaja Britain.

“Dalam dua kejohanan sebelum ini saya tewas selepas mendahului dua set awal.

“Jadi, daripada kegagalan itu, saya membuat persiapan mental dan fizikal yang rapi untuk kejohanan ini dan saya gembira berjaya membuktikan kebangkitan. Kini misi saya tertumpu pada kejohanan akan datang iaitu Jelajah SSJM pada Mei nanti,” katanya.

Bagi kategori wanita, Zoe Foo tidak berdepan masalah menumpaskan pemain pilihan ketiga dari Sarawak Ma Si Yi dengan keputusan straight set, 11-7, 11-6, 14-12.

Amirul curi tumpuan

Paling mencuri tumpuan di dalam kejohanan ini ialah Kategori Lelaki Bawah 15 Tahun.

Aksi final di antara dua wakil Sekolah Sukan Bukit Jalil iaitu pilihan utama, Duncan Lee dan pilihan kedua Muhammad Amir Amirul Azhar menyaksikan kejutan berlaku apabila Duncan tewas selepas bertarung dalam lima set yang penuh mendebarkan.

Amirul yang berasal dari Kelantan bangkit dua kali pada set kedua dan keempat sebelum menutup set kelima dengan kemenangan mutlak 7-11, 11-2, 4-11, 11-7, 11-8.

Bagi Amirul, beliau bagaikan tidak menyangka berjaya menjuarai kategori itu menyifatkan kemenangan berkenaan detik manis untuknya.

“Mentor saya, Muhammad Shafiq Kamal (juga berasal dari Kelantan) menjadi sumber motivasi saya dalam kejohanan ini.

“Bila menoleh ke belakang dan melihat kelibatnya, saya berasa begitu bersemangat dan gembira saya berjaya menjulang kejuaraan ini.

"Saya berharap kejayaan ini dapat menjadi pembakar semangat untuk saya menjuarai lebih banyak kejohanan di masa akan datang,” katanya yang ditemui selepas perlawanan.

Darren (kiri) menjuarai Kategori Bawah 19 Tahun selepas menewaskan Wong Wai Hung di perlawanan akhir.

SKUASY REMAJA KEBANGSAAN

Keputusan

BAWAH 19 TAHUN

LELAKI - Darren Rahul Pragasam (SRAM)

WANITA - Zoe Foo (SRAM)

BAWAH 17 TAHUN

LELAKI - Siow Yee Xian (Malacca)

WANITA - Ooi Kah Yan (SSBJ)

BAWAH 15 TAHUN

LELAKI - Muhammad Amir Amirul Azhar (SSBJ)

WANITA - Jessica Keng Jia Hui (Sabah)

BAWAH 13 TAHUN

LELAKI - Hi Jia Rong (Sarawak)

WANITA - Aira Azman (Kedah)

BAWAH 11 TAHUN

LELAKI - Harith Danial (Sarawak) 

WANITA - Anrie Goh (Kedah)