SEKOLAH Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) Thunderbolt, Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) Thunderbolt dan Sekolah Sukan Pahang Thunderbolt bermula cemerlang perlawanan pertama mereka dalam TNB Liga Hoki Remaja Kebangsaan 2017.

Kesemua sekolah Thunderbolt memulakan kempen liga hoki remaja agak lewat selepas kebanyakan pemain mereka menyertai Kejohanan Hoki Sekolah Asean B-18 di India minggu lalu.

Dalam perlawanan kelmarin, SSTMI Thunderbolt mudah menjinakkan cabaran Politeknik Malaysia 4-1 di Stadium Hoki Bukit Serindit, Melaka.

Bagi pengurus SSTMI, Adam Izamry Idrus, kemenangan tersebut memberikan tiga mata berharga dan merupakan permulaan cemerlang buat pasukannya.

“Kami mencari permulaan cemerlang dalam perlawanan pertama walaupun saya sedar mungkin tujuh pemain yang baharu sahaja menyertai kami lambat untuk menyesuaikan diri dalam pasukan.

“Namun, kesemua mereka berjaya mempamerkan persembahan terbaik dan kami sasarkan untuk berada di kedudukan teratas liga,” katanya.

Bagaimanapun, kata Adam, banyak lagi yang perlu diperbaiki pasukannya sebelum bertemu SSBJ Thunderbolt hari ini.

“Saya jangkakan saingan sengit di tempat sendiri, tetapi saya yakin pemain akan bertambah baik dan mencatatkan keputusan positif ke atas SSBJ Thunderbolt,” katanya.

 Pemain cuba melepasi gawang pihak lawan.

Dalam perlawanan itu, Muhammad Ariff Shafie dan Shahairul Rusyaidi meletakkan SSTMI Thunderbolt 2-0 pada minit ke-14 menerusi pukulan sudut penalti sebelum Politeknik Malaysia merapatkan kedudukan melalui Muhammad Sufian Marsom pada minit ke-54.

Bagaimanapun, SSTMI Thunderbolt kembali bertindak balas dan memastikan tiga mata penuh milik pasukan apabila Muhammad Syawal Najmi dan Muhammad Amirul Hamizan menjaringkan gol pada minit ke-56 dan m-59.

UniKL beraksi hambar dan mudah tunduk 0-4 kepada SSBJ Thunderbolt.

Sementara itu, SSBJ Thunderbolts juga mencatatkan kemenangan pertama mereka apabila menumpaskan UniKL 4-0. Pengendali UniKL, A Arul Selvaraj mengakui pasukannya gagal menandingi SSBJ Thunderbolt yang memiliki keupayaan yang lebih daripada pemainnya.

“Sememangnya sukar ketika berdepan SSBJ Thunderbolt. Kami juga akui kami bermain buruk dan bertahan dengan kurang baik.

“Terlalu banyak kesilapan yang menyumbang kepada gol untuk pihak lawan. Namun, ia merupakan pendedahan dan pengalaman terbaik buat pasukan," katanya.

Pemain UniKL gagal menidakkan ancaman SSBJ Thunderbolt.

Dalam perlawanan itu, SSBJ Thunderbolt menguasai permainan dengan mengawal suku pertama perlawanan, namun gagal menemui gawang UniKL.

Bagaimanapun, gawang UniKL bocor juga pada minit ke-18 menerusi jaringan Faiq Razim Zariq.

SSBJ Thunderbolt melebarkan kedudukan menerusi Arif Sabron pada minit ke-24 sebelum Mohd Amirul Mirza melengkapkan kemenangan bergaya dengan dua gol di minit akhir perlawanan.

Dalam aksi lain, Anderson Thunderbolt dikejutkan dengan kekalahan 1-3 kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ Tigers) dan Sekolah Sukan Pahang menewaskan Olak-nurinsafi 3-1.

Pemain meraikan jaringan.

TNB LIGA HOKI REMAJA KEBANGSAAN

KEPUTUSAN

LELAKI DIVISYEN 1

UniKL Young Guns

0-4

SSBJ Thunderbolt

Politeknik Malaysia-KPT

1-4

SSTMI Thunderbolt

SSBJ Juniors

1-3

SMK Dato Bentara Luar

Johor Juniors Anderson Thunderbolt

1-3

MBPJ Tigers

Olak-Nurinsafi

1-3

Pahang Thunderbolt

PERLAWANAN HARI INI

DIVISYEN 1

SSBJ Juniors lwn Politeknik Malaysia

(Padang KPM, 5ptg)

SSTMI Thunderbolt lwn SSBJ Thunderbolts

(Padang SSTMI, 5ptg)

Anderson Thunderbolts lwn AHP-MSP Thunderbolt

(Padang SMK Gunong Rapat, 5ptg)