KOTA BHARU – Naib juara tahun lalu, Muhammad Farez Mohd Azihan menebus kekecewaan apabila menjuarai kategori lelaki bawah 18 tahun Kejohanan Golf Majlis Sukan Sekolah-Sekolah (MSS) Kelantan 2018 di Kelab Golf dan Desa Kelantan (KCC), di sini, baru-baru ini.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Chepa 2 itu melengkapkan saingan tiga hari kejohanan dengan catatan terendah, 160 pukulan mengatasi Thank Ern Kent 197 pukulan dan Mohd Adib Danial Azman, 200 pukulan.

Nor Anis Athirah Redzuan dari SMK Kampong Chengal yang merupakan peserta tunggal perempuan bawah 18 tahun memenangi kejuaraan kategori berkenaan.

Mohd Hasrol Mohd Nasir (SMK Pengkalan Chepa) pula mempertahankan kejuaraan kategori lelaki bawah 15 tahun dengan 167 pukulan jauh mengatasi Izzul Iskandar Malek (193) dan ketiga, Mohd Amirul Amin (201).

Sementara itu, Nurul Fazlyana Mohd Azihan yang beralih ke kategori perempuan bawah 15 tahun tampil unggul menjuarainya dengan catatan 195 pukulan manakala naib juara, Nur Fifi Nayuni Alia Md Saufi (243) dan ketiga, Nor Nazirah Noor Aziz (258).

Pasangan adik-beradik, Ilyas dan Nur Alya Mazni pula mencipta kejutan apabila masing-masing menjuarai kategori lelaki dan perempuan bawah 12 tahun.

Ilyas melakukan 117 pukulan untuk berada di tempat pertama manakala Huzair Mikhail berpuas hati dengan gelaran naib juara dengan catatan 132 pukulan dan Ahmad Denial Haikal di tempat ketiga, 135 pukulan.

Nur Alya yang baru berumur sembilan tahun menduduki tempat pertama dengan 144 pukulan mengecewakan Mazli Nuraisya Hamid (160) dan Dalia Azman (164) di tangga ketiga.

Seramai 30 pemain golf muda mengambil bahagian dalam pertandingan yang menjadi medan memilih atlet terbaik bagi mewakili Kelantan ke Kejohanan Golf MSS Malaysia di Kedah, pertengahan bulan depan.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Kapten KGCC, Suhaili Abd Halim dan bekas Pengerusi Teknik Golf MSS Kelantan, Romli Mohd Zain. Hadir sama Pengerusi Teknik Golf MSS Kelantan, Zainal Mohamad dan Pengerusi Jawatankuasa pengelola kejohanan, Roslina A Rahman.

Mohd Hasrol (empat, kiri) dan Nurul Fazlyana (empat, kanan) bersama pemenang kategori bawah 15 tahun lelaki dan perempuan.

Zainal (depan, kiri) dan Roslina (belakang, kanan) bersama Muhammad Farez (depan, dua kanan) dan Nor Anis Athirah (kanan) yang merupakan juara kategori bawah 18 tahun.