HULU TERENGGANU - Karnival Bola Tampar Bawah 11 dan 16 Tahun Majlis Sukan Sekolah Terengganu (MSST) 2017 menyaksikan daerah Hulu Terengganu mendominasi kemenangan dengan merangkul dua juara serta dua naib juara.

Gelaran juara dirangkul bagi kategori lelaki bawah 11 tahun dan perempuan bawah 16 tahun, manakala naib juara diperoleh melalui kategori perempuan bawah 11 tahun serta lelaki bawah 16 tahun dan karnival melibatkan empat kategori keseluruhan.

Kejohanan berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Nenas itu terlebih dahulu memperlihatkan  kategori bawah 11 tahun beraksi serentak di peringkat akhir mengikut kategori dan menyumbangkan satu juara serta satu naib juara bagi daerah Hulu Terengganu.

Barisan pemain bagi pasukan bola tampar kategori perempuan bawah 11 tahun.

Pemain bola tampar daerah Hulu Terengganu bagi kategori bawah 16 tahun bersama medal dimenangi mereka.

Pemain-pemain bagi kategori perempuan 16 tahun.

 

Pengerusi Teknik Bola Tampar Daerah Hulu Terengganu, Azam Hashim berkata, bagi lelaki bawah 11 tahun, Hulu Terengganu tewaskan Setiu 30-11 manakala perempuan bawah 11 tahun sekadar berpuas hati 25-30 mata dengan bertemu Kuala Nerus.

“Kegembiraan berganda buat kontinjen Hulu Terengganu apabila bagi kategori perempuan bawah 16 tahun, Hulu Terengganu rangkul juara dengan tewaskan Kuala Nerus 30-24, manakala naib juara kategori lelaki bawah 16 tahun, 24-30 mata ditumpaskan pasukan Dungun.

“Hadiah kepada pemenang merupakan medal. Biarpun tidak dapat rangkul gelaran juara bagi keempat-empat kategori namun kita tetap bersyukur kerana dapat mendominasi kemenangan dan pastinya semua ini hasil kesungguhan pelbagai pihak," katanya.

Azam berkata, selain disiplin para pemain dan tunjuk ajar jurulatih, sokongan berterusan ibu bapa dan keluarga turut menambahkan lagi semangat dalam diri para pemain.

"Menerusi kejohanan karnival ini, ia platform untuk lahirkan ramai pemain berbakat sekali gus cungkil potensi pemain,” katanya,

Tambah beliau yang juga ketua kontinjen dan turut dibantu Isyam Azril Mohamad pencapaian diperoleh bagi karnival musim ini hampir menyamai musim lalu dan ia sekali gus menunjukkan pasukan bola tampar daerah Hulu Terengganu masih berbisa.

Empat jurulatih terlibat, Wan Azmi Wan Ismail dari SK Dusun, Mohd Faizi Zainuddin (SMK Menerong), Zamri Izuan Hasan (SK Pasir Nering) serta Mohamad Zakri Deraman dari SK Tapu.