Tak sangka idea yang tercetus di kedai mamak membolehkan nama Sekolah Kebangsaan (SK) Subang Bestari tercatat dalam Malaysian Book of Records setelah melaksanakan perlawanan bola sepak berkain pelikat yang berakhir Sabtu lalu.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu, Juraini Abd Fatah berkata, mereka memilih perlawanan itu kerana menganggapnya unik dan tidak pernah dibuat sebelum ini oleh mana-mana sekolah.

“Perlawanan diadakan PIBG SK Subang Bestari dengan kerjasama Karangkraf Sdn Bhd bagi merebut piala GPSBestari.com ini disertai lebih 1,000 murid babitkan 65 pasukan kesemuanya.

“Saya bangga dengan sokongan dan komitmen diberikan ibu bapa murid sekolah ini dan melihat satu gelombang baru dalam dunia sekolah,” katanya.

Kata beliau, kejayaan perlawanan bola sepak berkain pelikat lebih bermakna apabila ukhuwah antara ibu bapa, guru dan murid dilihat semakin mantap.

“Walaupun idea asal pertandingan bola sepak berkain pelikat ini yang saya kategorikan sebagai idea kedai mamak kerana tercetusnya idea ini semasa saya sedang minum bersama ahli PIBG yang lain namun kejayaan yang boleh dianggap besar ini sangat mengejutkan saya.

“Melalui pertandingan ini saya dapat lihat ramai bakat baru anak muda yang berpotensi besar dan masih boleh digilap untuk pergi ke tahap yang lebih jauh,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap pihak sekolah akan teruskan momentum itu supaya menjadi sekolah cemerlang dari segi akademik dan kokurikulum.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah berkata, dalam bidang sukan kesepakatan penduduk membabitkan ibu bapa memainkan peranan penting dalam menghasilkan kejayaan sekolah dan tugas itu harus digandingkan bersama. .

Menurutnya, selain komitmen tinggi guru, ibu bapa dituntut mendidik anak-anak dari rumah termasuk memantapkan pengetahuan agama dan menyokong sebarang usaha sekolah.

“Ibu bapa harus memantau pergerakan anak selepas waktu persekolahan dan memastikan anak pergi ke sekolah serta tidak melibatkan diri daripada melakukan perkara yang sia-sia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika majlis perasmian penutup Hari Sukan PIBG 2017 sekolah itu. Editor GPSBestari.com Wan Normi Hasan berkata, perlawanan sebegitu perlu diteruskan dari masa ke masa dengan harapan bintang-bintang kecil yang dicungkil boleh pergi lebih jauh dalam sukan bola sepak.

“Bola sepak kini sudah menjadi suatu kerjaya yang tak kurang lumayan dan mereka yang mahu serius dalam bidang ini perlu mengasah kemahiran dan kekuatan mental sejak awal lagi.

“Tahniah kepada PIBG SK Subang Bestari kerana mampu menjayakan perlawanan bola sepak berkain pelikat merebut Piala GPSBestari, semoga ada lagi tahun depan,” katanya.