Kuala Lumpur - Mondelēz International (Malaysia), pengeluar pelbagai jenama terkenal termasuk Cadbury Dairy Milk, baru-baru ini telah menjadi tuan rumah kepada sesi latihan bola sepak julung kalinya bersama legenda Liga Premier, Andrew Cole untuk pemain berbakat dari beberapa sekolah yang terpilih di Lembah Kelang.

Peserta terdiri daripada murid Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Jawa, SK Hicom dan SK Puchong 14 yang menjadi sebahagian daripada program tanggungjawab sosial utama syarikat, Joy Schools.

Pengarah Urusan Mondelēz International Malaysia Swadheen Sharma berkata, berdasarkan visi syarikat untuk Membawakan Saat-saat Manis, klinik bola sepak ini merupakan sebahagian daripada misi Mondelēz International Malaysia untuk menggalakkan gaya hidup aktif dalam kalangan kanak-kanak.

“Bola sepak bukan hanya sekadar permainan tetapi juga peluang untuk belajar. Selaras dengan usaha kami untuk memperkasakan kanak-kanak supaya mengambil langkah positif ke arah kesejahteraan diri mereka, Mondelēz International Malaysia telah merealisasikan salah satu teras Joy Schools iaitu Permainan Aktif,” katanya.

“Dengan melibatkan murid dalam aktiviti bersama salah seorang bintang bolak sepak terkemuka di padang bola, kami memberikan mereka peluang untuk mendapat manfaat bermain sebagai sebuah pasukan," katanya.

Murid ini mendapatkan tandatangan bintang bola sepak terkenal Liga Premier sebagai kenangan.

Menurut beliau, selain mempelajari nilai ketekunan dan kerjasama secara berpasukan, kanak-kanak ini akan melalui pengalaman menyeronokkan dan diberi semangat untuk meneruskan cita-cita mereka.  

Dalam menyediakan peluang untuk kanak-kanak bergerak aktif dalam persekitaran yang menyeronokkan, Mondelēz International Malaysia berhasrat untuk menggalakkan penglibatan fizikal yang boleh membantu membangunkan kemahiran sosial dan kognitif mereka.

Usaha ini penting kerana kajian menunjukkan bahawa hampir 70 peratus kanak-kanak negara ini sekarang mempunyai gaya hidup yang tidak aktif.

Andrew Cole berada di Malaysia untuk melancarkan Cadbury F.C., satu usaha sama antara Cadbury dan Liga Premier.

Klinik bola sepak itu merupakan sebahagian daripada usaha sama ini yang memberikan platform kepada Mondelēz International Malaysia untuk berkongsi saat manis dengan jutaan peminat bola sepak di seluruh negara tidak kira tua atau muda.  

Pada penghujung sesi, Andrew Cole memuji peserta yang mempamerkan semangat dan komitmen yang tinggi terhadap sukan bola sepak. \

“Saya gembira dapat berkongsi pengalaman dan kepakaran bersama pemain muda yang berbakat ini. Bola sepak telah mengajar saya pelbagai kemahiran hidup yang berguna dalam kehidupan saya sehingga ke hari ini.

"Sukan ini juga menjadi cara yang menyeronokkan untuk kekal aktif. Saya harap pemain muda ini akan terus mengekalkan tahap tenaga dan kesungguhan yang ditunjukkan di padang bola dalam setiap aspek kehidupan mereka,” beliau menambah.

Bagi peserta, pertemuan dengan legenda bola sepak terkemuka ini telah memberi kesan mendalam dan menjadi inspirasi kepada mereka untuk berusaha meningkatkan lagi prestasi masing-masing.

Sejak dimulakan di rantau Asia Tenggara pada 2011 Joy Schools telah memberi faedah kepada seramai 11,500 murid di 25 sekolah di Filipina, Thailand, Indonesia, Vietnam dan Malaysia.

Aktiviti Joy Schools dilaksanakan meliputi tiga teras utama iaitu mempromosikan pendidikan pemakanan, menyediakan akses kepada makanan segar dan menggalakkan permainan aktif.

Program ini disokong oleh Kementerian Pendidikan (KPM).