REMBAU – Seramai 45 atlet sepak takraw Sekolah Menengah Agama Haji Mohd Yatim (SMAHMY) kini diasah bakat masing-masing.

Uniknya, 30 daripada 45 atlet berusia 13 hingga 15 tahun berkenaan adalah bakal tahfiz yang cukup berminat untuk dicungkil bakat dalam sukan sepak takraw.

Jurulatih Sepak Takraw Pusat Latihan Daerah Rembau, Mohamad Hafiz Md Ngisum berkata, skuad sepak takraw SMAHMY sebelum ini pernah muncul Johan Temasya Sukan Anak Yatim (Sukya) Peringkat Kebangsaan 2012, 2014 dan 2016.

“Pasukan ini dibimbing secara bersama dengan jurulatih, Mohd Jasmee Mohd Nor dan berjaya mencapai kejayaan demi kejayaan.

“Malah, kejayaan berkenaan memberi laluan kepada SMAHMY muncul satu-satunya sekolah aliran tahfiz di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang menjadi Pusat Latihan Daerah bagi sukan sepak takraw di negara ini,” katanya di sini, semalam.

Mohamad Hafiz yang juga Jurulatih Sepak Takraw Pusat Latihan Daerah di bawah Majlis Sukan Negara Negeri Sembilan berkata, pihaknya kini giat mengasah bakat pelajar dalam sukan sepak takraw untuk melonjak kembali pencapaian pasukan sepak takraw SMAHMY.

Untuk rekod, skud sepak takraw SMAHMY sebelum ini pernah menjadi johan daerah bagi kategori bawah 15 dan 18 tahun.

“Pada 2013 dan 2014, skuad sepak takraw bawah 18 tahun SMAHMY muncul sebagai johan. Malah, pelajar kita sebelum ini juga pernah menjadi wakil negeri dalam sukan sepak takraw.

“Pada tahun lalu, kita berjaya mendapat tempat ketiga bagi kategori bawah 15 tahun dan bawah 18 tahun di pertandingan sukan peringkat daerah,” katanya.

Akurnya, kedudukan itu tidak mematahkan semangat skuad apabila berjaya melayakkan diri masuk ke pusingan akhir dan mendapat naib johan pada peringkat negeri bagi kejohanan yang sama.

“Tahun ini, skuad SMAHMY bawah 15 tahun dapat kedudukan ketiga, tapi kita harap agar kesemua atlet terus berusaha bersungguh-sungguh bagi pertandingan di peringkat negeri pada masa akan datang," katanya.