Persatuan Bola Keranjang Kebangsaan mengumumkan kemunculan semula Jr NBA, program penyertaan bola keranjang global liga tersebut khas untuk penyertaan remaja lelaki dan perempuan.

Dengan kerjasama Kementerian Pendidikan, program tahun ini melibatkan satu siri bengkel Akademi Jurulatih Jr NBA yang menyediakan latihan di gelanggang, latihan kekuatan dan penyesuaian serta pendidikan bola keranjang kepada guru pendidikan jasmani di seluruh negara.

Akademi Jurulatih Jr NBA ini akan mengadakan beberapa bengkel di Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Terengganu.

Pengarah Pemasaran, Produk Tenusu Pengguna, Dutch Lady, Ramjeet Kaur Virik berkata, pihaknya amat berbesar hati dapat menyokong Jr NBA buat tahun kelima berturut-turut kerana ia merupakan sebuah platform bersesuaian dengan kempen Drink. Move. Be Strong (DMBS).

Remaja yang terpilih diraikan pihak Jr NBA.

"Kami berhasrat mendidik remaja mengenai kepentingan pemakanan sihat dan gaya hidup aktif,” katanya.

Program tahun ini dimulakan dengan sebuah klinik terbuka untuk remaja di IGB International School di Kuala Lumpur yang akan dijalankan sehingga Ogos tahun ini.

Program ini mengandungi beberapa siri klinik yang akan menuju ke kem pemilihan pada 21 Julai di mana 30 lelaki dan 30 perempuan akan maju ke Kem Latihan Kebangsaan Jr NBA dari 3 hingga 5 Ogos, yang kemudian akan menampilkan 40 pemain cemerlang dipilih oleh guru dari Akademi Jurulatih Jr NBA.

Kem Latihan Kebangsaan akan berakhir dengan lapan remaja lelaki dan lapan remaja perempuan yang dipilih sebagai Jr NBA Malaysia All-Stars dan juga akan dihadiri oleh salah seorang pemain NBA yang masih aktif ataupun seorang pemain legenda NBA.

Peserta cemerlang ini akan dapat menikmati pengalaman NBA yang unik di luar negara bersama peserta Jr NBA All-Stars dari Asia Tenggara yang lain pada hujung tahun ini.

Program Jr NBA adalah percuma dan terbuka kepada remaja lelaki dan perempuan berusia 5 hingga 14 tahun.

Untuk maklumat lanjut, layari www.jrnba.asia/ malaysia.