PASIR PUTEH - Inisiatif menjadikan Pasir Puteh sebagai pusat pengembangan bakat baharu bola sepak menunjukkan petanda positif.
Selepas beberapa tahun Kelab Komuniti Aktif (ACC) mewujudkan akademi bola sepak bawah 12 tahun, kejohanan bola sepak kategori berkenaan dianjurkan di Padang Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP), baru - baru ini.
Kejohanan Bola Sepak Sembilan Sebelah Bawah 12 Tahun Terbuka Pasir Puteh yang disertai 32 pasukan dari seluruh Kelantan baru-baru ini menterjemahkan usaha murni tersebut bagi mencungkit bakat baharu bola sepak.
Lebih menarik apabila kejohanan anjuran bersama MDPP, Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Puteh dan ACC itu akan menjadi acara tahunan.
Yang Dipertua MDPP, Ab Pattah Hasbullah berkata, pihaknya akan sentiasa menyokong usaha menyuburkan tunas bola sepak di daerah ini dan berharap kelab berkaitan terus memberikan kerjasama.
Katanya, kejohanan itu memberi peluang kepada pemain muda mempamerkan kebolehan serta menguji prestasi diri.
"Usaha berterusan ini akan membantu membekalkan pemain berkualiti untuk negara pada masa akan datang, ia bukan sekadar mengisi masa lapang anak-anak pada musim cuti persekolahan," katanya.
Pasukan Wameza muncul juara dengan membawa pulang Piala YDP MDPP dan wang tunai RM700, pasukan Cougars muncul naib juara dengan meraih RM500 sementara tempat ketiga dikongsi Pasir Mas A dan TBH FC yang mana masing-masing menerima RM200.
Empat lagi pasukan layak ke suku akhir iaitu JTI B, SK Nail, SK Kuala Geris dan TMEX FC menerima hadiah saguhati berupa hamper. Hadiah kepada pemenang disampaikan Ketua Ahli MDPP, Saipul Bahrin Mohamed dan Penaung ACC, Ahmad Shargowi Derahman.