Daerah Kuala Langat sekali lagi dinobatkan sebagai Johan Keseluruhan Kejohanan Pelayaran Majlis Sukan Sekolah Selangor (MSSS) bagi kali ke-14 berturut-turut yang diadakan di Pantai Batu Laut pada 26 hingga 28 Februari lalu.

Pasukan dari Daerah Kuala Langat berjaya menewaskan daerah-daerah lain dalam kejohanan yang berlangsung sengit apabila dibezakan dengan jumlah mata yang sangat sedikit.

Kejohanan itu turut dianggap sebagai medan untuk memilih pelayar yang akan mewakili Negeri Selangor dalam Kejohanan Pelayaran Peringkat Kebangsaan yang dijangka akan diadakan di Pulau Langkawi pada pertengahan bulan Mac.

Dalam kejohanan itu, pelayar-pelayar dari daerah Kuala Langat yang diwakili oleh pelayar dari SMK Batu Laut, Sekolah Menengah Sains Banting, SMK Telok Datok, SK Permatang Pasir dan SK Tanjung Sepat mengungguli beberapa kategori.

Antaranya termasuklah pelayar dari SMK Batu Laut Izzatul Huda Sahni dan Nur Amira Uzma Rudin telah dinobatkan sebagai Johan dalam kategori Laser Radial dan Laser 4.7.

Sementara Pelayar dari SM Sains Banting Muhammad Akmal Danish Baharin pula mengungguli acara Laser 4.7 bagi kategori lelaki.

Dalam pada itu, pelayar Nur Fitri Fatihah Hairi dan Muhammad Zikri Muhammad Fauzi dari SK Permatang Pasir pula mengungguli kategori Optimis bawah 12 tahun dan 10 tahun.

Selain itu, Pelayar dari SMK Teluk Datok, Muhammad Amiruddin Mohd Shahid turut mengungguli kategori Laser Radial.

Sementara itu, Pegawai Khas Menteri Pendidikan,  Norazli Said  berkata, bakat-bakat baharu pelayar mestilah dicungkil untuk memastikan negara mempunyai pelapis dalam acara pelayaran yang menawarkan banyak pingat dalam sukan Olimpik, sukan Sea dan juga sukan Komanwel.

Beliau yang juga Ketua Pemuda Umno Bahagian Sepang berkata, kejohanan itu mampu melahirkan pelayar-pelayar yang hebat untuk mewakili negara suatu masa nanti.

"Saya kagum dengan pelayar-pelayar khususnya yang masih bersekolah rendah kerana bersemangat waja dengan membuktikan usia dan fizikal bukanlah penghalang untuk mereka menceburi aktiviti pelayaran," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kejohanan Pelayaran Majlis Sukan Sekolah Selangor (MSSS) bagi kali ke-14 berturut-turut yang diadakan di Pantai Batu Laut.

Ketua Kontinjen Pasukan Pelayaran Daerah Kuala Langat, Azman Mashuri berkata, program pembangunan sukan pelayaran yang dijalankan di sekolah tersebut membantu melahirkan pelayar-pelayar yang hebat dan pernah mewakili negara dalam beberapa kejohanan pelayaran sehingga ke peringkat antarabangsa.

Menurutnya, beliau mengharapkan program pembangunan sukan pelayaran itu mendapat sokongan daripada ibu bapa untuk memastikan daerah dan negara tidak ketandusan pelayar-pelayar yang hebat.