KUALA TERENGGANU - Pasukan ragbi Sekolah Sukan Sultan Mahmud (SESMA) membuktikan penguasaan mereka dalam sukan itu apabila berjaya mempertahankan kejuaraan musim lalu pada Kejohanan Pembangunan Ragbi bawah 16 tahun Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) Terengganu yang berlangsung di Stadium Mini, Kompleks Sukan Gong Badak.

Pada perlawanan pentas akhir itu, skuad kendalian Mohd Nizam Mohd Kamal sekali lagi menghampakan pasukan ragbi Maktab  Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Terengganu untuk merampas kejuaraan dengan meraih kemenangan bergaya 17-0 menerusi tiga try dan satu convertion.

Tempat ketiga dikongsi bersama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman dan SMK  Lembah Bidong.

Juara plate pula menjadi milik SBPI Batu Rakit setelah menewaskan SMK Tok Dor (Besut) 15-0 yang sekadar berpuas hati dengan gelaran naib juara.

Manakala juara bowl dimenangi MRSM Kuala Berang setelah mengetepikan pendatang baharu, SMK Menerong dengan kemenangan mutlak 15-0.

Bagi kategori bawah 11 tahun pula, Majlis Sukan Daerah (MSD) Besut menguasai kedudukan terbaik apabila muncul juara dan naib juara setelah bertemu sesama sendiri dengan kemenangan berpihak kepada kem Besut B selepas mengetepikan cabaran Besut A, 14-0.

Tempat ketiga bersama menjadi milik pasukan MSD Marang A dan Hulu Terengganu A, manakala johan plate diraih skuad MSD  Dungun B serta naib johan, Marang B.

Pemain terbaik kejohanan bagi kategori bawah 16 tahun menjadi milik pemain daripada pasukan SESMA, Mohd Izzul Aiman Zainuddin dan Mohd Shahru Aizam Masroni (MSD Besut B) bagi kategori bawah 11 tahun.

Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Pengarah Urusan CVE Sport, Paudzi Mohamad selaku penaja rasmi kejohanan yang berlangsung selama dua hari itu.

Pasukan ragbi SESMA meraikan kemenangan mereka setelah berjaya mempertahankan gelaran juara dengan menewaskan pasukan MSRM Kuala Terengganu pada aksi pentas final.

Juara plate dimenangi pasukan SBP Batu Rakit (kanan) setelah mengetepikan cabaran SMK Tok Dor dari Besut.

 

Displin kunci kejayaan

Sementara itu, ketua jurulatih skuad ragbi SESMA, Mohd Nizam Mohd Kamal mengakui disiplin tinggi ditunjukkan anak buahnya sepanjang perlawanan itu menjadi kunci kepada kejayaan mereka untuk sekali lagi mempertahankan gelaran juara musim ini.

Menurutnya, saingan musim ini dilihat sedikit sukar apabila sebahagian daripada pemain menduduki peperiksaan PT3 sekali gus membataskan persediaan pasukan dan hanya sempat berlatih selama satu jam sehari.

“Sememangnya saingan sengit diberikan MRSM KT sebagaimana musim lalu, bagaimanapun Alhamdulillah moral pemain semakin meningkat setelah mereka berjaya melakukan try yang pertama sekali gus mendorong kepada kejayaan pasukan.

“Apa pun saya bangga apabila mereka menunjukkan semangat juang yang tinggi untuk mempertahankan kejuaraan dan ia bukan lah sesuatu yang mudah untuk direalisasikan.

 

Aksi pentas final antara pasukan SESMA dan MRSM Kuala Terengganu yang berlangsung di Stadium Mini, Kompleks Sukan Gong Badak.

 

Berjaya lakar hatrik kemenangan sejak 2015

Manakala pengendali MSD Besut, Mohd Helmi Mohd Yusof menyifatkan persiapan sejak hampir empat bulan lalu banyak membantu anak buahnya mempamerkan aksi yang lebih cemerlang pada kejohanan tersebut.

Katanya, selain itu, pendedahan sejak mereka berusia 9 tahun dengan menyertai pelbagai kejohanan juga turut membantu mereka memahami bagaimana sukan ini dimainkan sekali gus berjaya menguasai edisi pada kali ini.

“Alhamdulillah ini adalah hatrik kemenangan kami sejak 2015 dan ini merupakan kali pertama kami menghantar dua pasukan dan kedua-dua mereka berjaya mara ke final.

“Malah kejayaan ini juga menjadi langkah awal buat kami di MSD Besut untuk terus memartabatkan sukan rabgi di Besut setanding dengan sukan-sukan lain pada masa akan datang,” katanya.