KUALA TERENGGANU -  Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD) Kemaman  mendominasi Kejohanan Bola Sepak Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Terengganu (MSST) 2017 apabila ungguli dua daripada tiga kategori dipertandingkan di Padang Sintetik, Kompleks Sukan Gong Badak, semalam.

Pada kejohanan yang berlangsung selama tiga hari itu, pasukan bawah 15 tahun terlebih dahulu meraih gelaran juara apabila menumpaskan skuad Setiu dengan keputusan 5-2.

Kejayaan skuad bawah 15 tahun itu diteruskan pasukan bawah 18 tahun apabila dua kali mencipta kebangkitan untuk mengikat kedudukan 2-2 ke atas Kuala Nerus  sehingga ke masa tambahan sebelum meraih kemenangan mutlak pada penentuan sepakan penalti dengan agregat kemenangan 6-5.

Manakala bagi kategori bawah 12 tahun, MSSD Kuala Terengganu berjaya mempertahankan gelaran juara musim lalu apabila sekali lagi mengecewakan hasrat  kem Besut untuk merebut takhta kejuaraan dengan kemenangan bergaya 3-1.

Selaku tuan rumah, Kuala  Nerus yang muncul naib juara bagi kategori bawah 18 tahun turut mencipta sejarah tersendiri apabila dua pemainnya dinobatkan selaku penjaga gol terbaik kejohanan menerusi Muhammad Syafiq Ikhwan Borhan dan Mohd Faqrulazim Zulfatah selaku pemain terbaik perlawanan pentas final.

Bagi kategori bawah 15 tahun penjaga gol terbaik menjadi milik Umar Abd Wahab (MSSD Marang) dan pemain terbaik, Ahmad Wafuddin Rozilah (MSSD Kemaman), manakala kategori bawah 12 tahun, Wan Alif Haikal Wan Ahmad dari MSSD Kuala Nerus muncul penjaga gol terbaik dan Muhammad Syahir Shukri (MSSD Kuala Terengganu ) dinobatkan selaku pemain terbaik.

Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Adun Batu Rakit yang juga Timbalan Pengerusi Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan Negeri, Bazlan Abd Rahman.

Hadir sama, Penyelaras Pembangunan Bola Sepak Negara, Zon Timur, Mat Noor Bidin dan Timbalan Ketua Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Nerus, Ramly Abdullah.

Pencapaian membanggakan buat MSSD Kemaman

Sementara itu, Setiausaha  MSSD Kemaman, Amrul Adam Abd Aziz  menyifatkan kejayaan meraih juara berganda  itu adalah pencapaian terbaik buat pasukan bawah 15 dan 18 tahun selepas mereka menjalani latihan intensif sejak dua minggu yang lalu.

Katanya, walaupun bagi kategori bawah 12 tahun mereka hanya berkongsi tempat ketiga, namun kesungguhan yang ditunjukkan pemain amat memberangsangkan dan kita berharap kesemua pemain dapat mengekalkan prestasi terbaik mereka untuk memburu gelaran juara pada musim depan.

“Sememangnya kita amat menantikan kejuaraan ini sejak sekian lamanya dan lebih menggembirakan apabila pemain dapat memberikan kemenangan berganda pada hari ini (semalam).

“Insya-ALLAH kita akan terus berusaha mengekalkan kejuaraan ini pada musim depan selain memburu juara keseluruhan bagi ketiga-tiga kategori nanti,” katanya.

Aksi ulangan musim lalu

Dalam pada itu, Ketua jurulatih pasukan bawah 12 tahun MSSD Kuala Terengganu, Tuan Zainal Abidin Tuan Chilek berkata, perlawanan final itu diibaratkan aksi ulangan musim lalu apabila bertemu lawan yang sama dan mereka sekali lagi berjaya mengetepikan cabaran Besut buat kali kedua berturut-turut.

Katanya, semangat juang dan disiplin tinggi dalam kalangan pemain menjadi kunci kejayaan pasukannya dalam mempertahankan kejuaraan buat kali kedua, selain kerjasama dan pengorbanan dicurahkan jurulatih-jurulatih pasukan serta ibu bapa sejak seminggu lalu dalam mempersiapkan pasukan terbaik musim ini.

“Malah kehadiran beberapa pemain yang turut berada dalam skuad pembangunan bola sepak negara (NFDP) memantapkan lagi pasukan kami pada kali ini apabila berjaya melaksanakan perancangan pasukan dengan baik  di dalam padang.

“Walaupun bukan mudah untuk pertahankan gelaran juara tetapi kita akan terus mencuba untuk melakukan hatrik kemenangan pada musim depan dengan melakukan persiapan lebih rapi nanti,” katanya.