Pasukan Kijang Handball kini giat menggilap bakat atlet cilik sukan bola baling sebagai pelapis sukan tersebut pada masa hadapan.

Jurulatih pasukan berkenaan, Muhammad Hasyir Yaacob, ahli pasukan Kijang Handball terdiri daripada atlet berusia 11 tahun hingga 45 tahun.

“Kami mempunyai 70 pemain terdiri daripada pasukan lelaki dan wanita termasuk pelajar sekolah dan menjalani latihan di Sepang, Putrajaya dan Bangi,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini pasukan Kijang Handball telah menyertai dua kejohanan sepanjang tahun ini.

“Kita berjaya menduduki tempat ketiga dalam Kejohanan Bola Baling Terbuka Universiti Kebangsaan Malaysia dan Naib Johan dalam Kejohanan Bola Baling Terbuka Universiti Putra Malaysia,” katanya.

Menurutnya, penubuhan pasukan Kijang Handball adalah pada penghujung 2011.

“Pada waktu ahli pasukan hanya dibarisi oleh Alumni Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Salak Tinggi,” katanya.  

Beliau berkata seramai empat ahli pasukan kini dalam persiapan untuk menyertai Sukan Malaysia (Sukma) 2018.

“Seramai dua atlet lelaki akan mewakili Melaka, manakala dua atlet wanita akan mewakili Wilayah Persekutuan dalam Sukma 2018,” katanya.