KONTINJEN Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) mengutip 22 pingat emas, 16 perak dan 34 gangsa di Kejohanan Sekolah Asean Ke-9 (9th ASG) di Singapura dari 13 hingga 21 Julai lalu.

Kementerian Pendidikan berkata, dengan kutipan pingat itu, kontinjen MSSM menduduki tempat keempat keseluruhan.

“Pencapaian kali ini jauh lebih baik daripada pencapaian pada kejohanan di Chiangmai, Thailand tahun lalu yang hanya membawa pulang enam pingat emas, 16 perak dan 22 gangsa.

“Secara keseluruhan, pasukan badminton dan gimrama merupakan penyumbang pingat emas terbanyak,” kata Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan semalam.

Atlet gimrama negara yang bakal beraksi dalam Sukan Sea 2017, Izzah Amzan turut memenangi empat pingat emas bagi acara berpasukan, belantan, riben dan individu keseluruhan selain membantu pasukan gimrama MSSM membolot kesemua enam pingat emas yang ditawarkan.

Menurut Kementerian Pendidikan, selain Izzah seorang lagi atlet gimrama Rayna Hoh Khai Ling membawa pulang tiga pingat emas dalam acara berpasukan, gelung dan bola.

Dalam sukan badminton, Ng Eng Cheong muncul peserta terbaik lelaki MSSM apabila merangkul tiga pingat emas dalam acara berpasukan, beregu lelaki dan beregu campuran, manakala Toh Ee Wei memenangi tiga pingat emas dalam acara berpasukan, beregu wanita dan beregu campuran.

Sementara itu Goh Jin Wei yang juga pemain nombor 26 dunia tidak mengecewakan kontinjen MSSM dengan menyumbangkan dua pingat emas dalam acara perseorangan perempuan dan berpasukan.

Lain-lain pingat emas diperoleh dalam acara boling (empat), balapan dan padang (dua), renang (dua) dan ping pong (dua).