BATU LAUT - Kuala Langat menjuarai Kejohanan Pelayaran Majlis Sukan Sekolah Selangor (MSSS) 2017 yang diadakan di Pantai Batu Laut.

Kejohanan yang berlangsung tiga hari berakhir semalam itu menyaksikan Klang serta Petaling Perdana mendapat tempat kedua dan ketiga.

Ketua Penolong Pegawai Pendidikan Daerah (PPPD) Unit Sektor Kemanusiaan, Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Langat, Zulkifli Mohamed berkata, sasaran yang diletakkan Jabatan Pelajaran Negeri Selangor (JPNS) kepada pasukan Pelayaran MSS Selangor untuk kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) nanti iaitu johan atau tempat kedua keseluruhan.

Menurutnya, Kejohanan Pelayaran MSSM yang bakal berlangsung di Teluk Batik, Perak pada 17 hingga 25 Mac ini diharap menjadi lakaran sejarah buat kontinjen Selangor dalam menaikkan imej  sukan perahu layar.

“Pasukan MSS Selangor akan mengadakan latihan pusat selama seminggu di Pantai Batu Laut sebelum bertolak ke Perak.

“Jadi kita nak lihat peserta-peserta kita mempamerkan latihan yang cemerlang sebelum ke hari kejohanan sebenar sebagai persediaan awal,” katanya.