KUANTAN - Kuantan Soccerkids mempamerkan kecemerlangan selepas muncul juara dalam Karnival Bolasepak Grand Finale Zurich Youth Cup 2018, baru-baru ini.
Pasukan itu muncul juara bagi kategori bawah 10 tahun dalam karnival yang berlangsung di padang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi.
Menggunakan tema 'Eat Right to Play Right', pasukan yang mewakili Zon Timur itu menewaskan pencabarnya,Sekolah Kebangsaan (SK) Penghulu Abu Bakar(Zon Utara) menerusi sepakan penalti, 6-5 selepas terikat seri,1-1 hingga tamat perlawanan.
Selaku juara, Kuantan Soccerkids membawa pulang hadiah wang tunai RM700 bersama piala kejuaraan serta medal dan RM500, medal bagi naib juara.
Menambahkan rekod kejayaan pasukan itu, penjaga gol mereka, Shafei Izuddin, 9 dinobatkan sebagai penjaga gol terbaik kejohanan bagi kategori terbabit.
Bagi kategori tersebut, selain dua pasukan tersebut, tiga lagi pasukan mewakili zon masing-masing iaitu Inspire OGM (Selatan), Samarahan Tigers (Sarawak ), Akademi PKNS FC (Tengah) berentap dalam karnival tersebut dan membawa pulang hadiah wang tunai RM250 sebagai finalis.
Majlis penyampaian hadiah dimeriahkan dengan kehadiran bekas bintang bola sepak negara iaitu Safee Sali dan hadiah disampaikan oleh barisan lembaga pengarah Zurich.