SHAH ALAM - Kelab Sukan & Kebajikan Jabatan Pendidikan Selangor (Kesuba) meraikan ulang tahun ke-45 penubuhannya dengan menganjurkan larian Education  Fun Run 2019, 5 Januari lalu.

Acara yang diadakan di Taman Botani Negara, Shah Alam itu disertai  kira-kira 1,700 peserta yang sebahagian besarnya terdiri daripada warga pendidik dari seluruh negeri Selangor.

Setiausaha Kesuba, Hami Erina Rusli berkata, pelbagai program dirancang  bagi meraikan ulang tahun kelab berkenaan.

"Antaranya ialah hari keluarga, karnival sukan dan malam gala, sementara  acara larian Education Fun Run dijadikan acara pembuka tirai," katanya.

Hadir sama, Pengarah Pendidikan Selangor Mohd Salleh Mohd  Kassim dan Timbalan Pengerusi Kesuba, Datin Nor Faridah A Bakar. Menurutnya, selain gerai  pameran dan jualan, acara cabutan bertuah menjadi tarikan peserta apabila penganjur menyediakan lebih 100 hadiah untuk dimenangi termasuk hadiah utama sebuah motosikal modenas 110cc.

Upacara pelepasan peserta disempurnakan  Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Sementara itu, Pengarah pro-gram Rosli Badron bersyukur kerana cuaca baik pada hari tersebut dan tiada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

Beliau turut memuji semua petugas Kesuba dan Honda Shah Alam kerana membantu tugasan urusetia  dengan baik.

Terdahulu, majlis penyampaian tajaan telah diadakan pada 28 Disember  2018 di Dewan Terbilang, Jabatan Pendidikan Selangor membabitkan 17 penaja daripada sektor korporat dan swasta.

Syarikat pengedar kereta honda, Shared Auto Cars Sdn Bhd menjadi  penaja utama bagi edisi kali ini dengan tajaan bernilai lebih RM30,000 di sampaikan oleh wakil syarikat berkenaan, Nor Amija Miskon kepada Pengarah Pendidikan Selangor.

Antara penaja lain adalah Kidzania, McDonalds, Yayasan LBS,  Embroidery Zone, Farm Fresh, Nestle dan Gardenia serta Line7  yang menjadi pakaian rasmi acara kali ini.