KUALA SELANGOR - Pasukan Silver Junior muncul juara keseluruhan selepas menewaskan pasukan St Gabriel Lions dalam Kejohanan Sofbol Terbuka Kuala Selangor Bawah 11 Tahun.

Pengurus Kejohanan, Hazli Sham Harun berkata, pasukan Silver Junior dari Perak menewaskan pasukan dari Kuala Lumpur manakala tempat ketiga dimenangi pasukan Coach Kg B dan Cyberian A.

“Bagi kategori Plate, gelaran juara milik pasukan Titans dari Selangor manakala Pasukan Kerian, Perak menduduki tempat kedua diikuti pasukan Bullet dan Manjung juga dari Perak untuk tempat ketiga.

“Pasukan St Gabriel Lions turut menerima anugerah Kumpulan Penyokong Terbaik manakala pasukan Coach Kg A (Selangor) dianugerahkan sebagai penampilan pasukan terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada kejohanan dirasmikan Orang Besar Daerah Kuala Selangor, Datuk Mohd Yaakob Ismail dan yang turut dihadiri Pengarah KVKS, NorainiIshak dan Presiden Kelab Sofbol Firefly Kuala Selangor, Baharudean Mohamad, di sini.

Menurutnya, seramai 20 pasukan menyertai kejohanan peringkat kebangsaan anjuran Kelab Sofbol Firefly (FFSC) dan Kolej Vokasional Kuala Selangor (KVKS).