PENGENDALI skuad bawah 14 (B-14) Malaysia Cougars, Lim Teong Kim akan merehatkan beberapa pemain utama bagi memberi peluang kepada pemain lain beraksi ketika menentang kelab dari Indonesia, Saswco FC dalam saingan Piala Supermokh 2016, hari ini.

Setelah mencatat dua kemenangan menentang kelab Jepun Kawasaki Frontale 4-0 dan skuad B-14 Bangladesh 1-0, skuad utama Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) itu
berpeluang cerah menempah tiket ke peringkat suku akhir.

Penolong jurulatih Malaysia Cougars, Raja Azlan Shah Raja Soib nyata optimistik pasukannya akan mara ke peringkat seterusnya.

“Aksi kedua menentang Kawasaki Frontale, pemain beraksi lebih baik dan penyerang kita lebih menyengat.

“Kita mungkin merehatkan pemain utama untuk aksi ketiga kerana kita sudahpun memungut enam mata dan mengungguli kumpulan,” katanya.

Skuad kendalian Teong Kim itu diundi dalam Kumpulan C bersama Kawasaki Frontale, Bangladesh dan Saswco FC.

Sementara itu, Malaysia Panthers yang dibimbing bekas pemain kebangsaan, Wan Rohaimi Wan Ismail tewas kepada Paris Saint Germain (PSG) 1-3 dalam aksi Kumpulan E manakala
Malaysia Tigers yang berada dalam Kumpulan D dibelasah Sao Paulo FC 0-4.

Dalam Kategori B-12 Malaysia Cougars mengekalkan aksi konsisten dengan kemenangan kedua ke atas kelab Iran, Foolad Mobarakeh Sepahan 1-0.