KOLEJ Melayu Kuala Kangsar (MCKK) tekad melakar kejayaan hatrik menjulang Trofi Cabaran Pengerusi Malaysia Airports apabila bakal membuat perhitungan dengan SM Sains Hulu Selangor (Semashur) di pentas akhir Kejohanan Ragbi Super Schools Fifteens di Stadium Proton City, Tanjung Malim esok.

Pertembungan dua jagoan ragbi tempatan itu mengulangi aksi final tahun lalu dengan memihak kepada MCKK yang mengalahkan Semashur 25-10.

MCKK yang dibimbing jurulatih skuad kebangsaan, Mohd Romli Saad dilihat tidak berdepan masalah untuk melakar kejayaan hatrik jika dilihat persembahan semasa mereka diambil kira.

Namun, bagi Kapten MCKK, Ahmad Zaril Hariz Mohd Nazaruddin, dia tidak mahu rakan sepasukannya berasa terlalu yakin walaupun pernah menewaskan Semashur di pentas akhir tahun lalu.

“Kami perlu waspada dan merendah diri, lawan pastinya ingin menebus kehampaan mereka tahun lalu. Kami jangkakan aksi sengit pada perlawanan akhir nanti.

“Apapun segala perancangan jurulatih akan dipatuhi dan saya harap rakan sepasukan fokus sehingga tamat perlawanan,” ujarnya ketika ditemui pada sidang akhbar di Subang Jaya, semalam.

Pada saingan separuh akhir, MCKK berjaya menewaskan juara edisi 2017, Victoria Institution (VI) 15-3 manakala Semashur mengetepikan cabaran sengit Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) dengan keputusan 26-2.

Sebelum bermulanya peringkat kalah mati, MCKK mengungguli Kumpulan A yang disertai STAR, VI dan SM Sains Selangor (SMSS).

Semashur pula menerajui Kumpulan B yang dibarisi Maktab Sultan Abu Bakar (EC), Sekolah Datuk Abdul Razak (SDAR) dan Sekolah Sultan Alam Shah (SAS).

Sementara itu, Pengurus Besar Komunikasi Korporat Malaysia Airports, Nik Anis Nik Zakaria berkata, kejohanan tersebut merupakan salah satu inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) organisasi berkenaan bagi menggalakkan aktiviti sukan dan memupuk sifat kepimpinan dalam kalangan pelajar demi membangunkan negara.

“Pada tahun ini, kami juga berbangga dengan program mentor baru yang dikenal sebagai Grassroots Development Programme yang mana dua buah sekolah telah dipilih untuk memberi tunjuk ajar dan menerajui sukan ragbi,” ujarnya.

Artikel menarik:

Dua beradik johan seni khat.. warisi bakat bapa

'Tak apa Alia, kalian dan Allah bersama saya..' - Cikgu Fadli disekat jumpa Alia

Tak berganjak walau seminit.. kesetiaan murid tahun 6 temani rakan berkerusi roda buat netizen sebak

Cikgu, budimu kuawa mati! - Tulisan Datuk Jalil yang menyentuh hati

Rahsia nota kecil ditulis pelajar 19 tahun.. cikgu ini kongsi isi nota yang buat hatinya tersentuh