PILIHAN utama dari Negeri Sembilan, Ameeshanraj Chandran dan Yasshmita Jadishkumar menepati ramalan apabila muncul juara Kategori Bawah 13 Tahun dalam Sirkit Remaja Kebangsaan Rising Star Yayasan CIMB kali ke-12 di Pusat Skuasy Jalan Duta, barubaru ini.

Ameenshanraj menang mudah apabila mengetepikan pilihan kedua dari Sarawak, Hi Jia Rong 11-4, 11-7, 11-4 dalam perlawanan akhir yang berlangsung selama 27 minit.

Bagi Ameenshanraj, kemenangan itu diharap dapat menjadi penyuntik semangat untuk dia meraih lebih banyak kejuaraan pada masa depan.

"Perlawanan ini terlalu mudah, sebenarnya saya harap cabaran lebih sengit lawan tapi tidak berlaku. "Saya akan jadikan kemenangan ini penyuntik semangat dan akan terus berlatih bersungguh-sungguh di bawah kendalian jurulatih Zulfikar," katanya.

Manakala Kategori Wanita Bawah 13 Tahun pula menyaksikan Yasshmita terpaksa bergelut selama 45 minit sebelum menewaskan rakan sepasukan juga dari Negeri Sembilan, Nur Maisara Mohd Azlan Shah 7-11, 11-7, 11-8, 8-11, 11-7.

Sambil menyifatkan tuah berpihak kepadanya, Yasshmita berkata, lawannya memberikan tentangan sengit dalam perlawanan akhir itu.

"Saya rasa saya mungkin terlebih yakin dalam perlawanan akhir ini. "Bila saya tewas dalam perlawanan pertama saya mula panik.

"Maisara sememangnya seorang pejuang yang wajar diberikan pujian kerana terus memberikan cabaran hebat untuk saya.

Dia sememangnya seorang pemain yang perlu diberi perhatian selepas ini.

"Mujurlah jurulatih saya Hafefe Tarmizhi tidak putus-putus memberi galakan dan meminta saya untuk bertenang sehingga set kelima," katanya.

Kemenangan itu kejuaraan pertama Ameenshanraj dan Yasshmita dalam siri sirkit kali ke-12 ini dengan cabaran seterusnya menanti pada penghujung Jun di Kejohanan Terbuka Remaja Pulau Pinang.

Tempat ketiga untuk kategori lelaki dan wanita bawah 13 tahun masing-masing disandang oleh Shamiel Haeyzad Sharulhisam (Negeri Sembilan) dan Thanussa Uthrian (Melaka). Secara keseluruhan, seramai 384 pemain dari seluruh negara bersaing dalam kejohanan lima hari itu.

Hadiah disampaikan oleh Penolong Pengurus Sumber Manusia Tanggungjawab Korporat CIMB, Abdul Rashid Abdul Rahman; Pengarah Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Mejar (B) S Maniam; Naib Presiden SRAM Nik Razeen Daud dan Pengerusi Program Pembangunan Remaja SRAM, Andrew Muthu.