KOTA BHARU – Selangor menjuarai Kejohanan Badminton Kebangsaan Berpasukan Antara Negeri Bawah 18 Tahun setelah menewaskan Pulau Pinang 4-1 pada perlawanan akhir yang berlangsung di Dewan Persatuan Badminton Negeri Kelantan (PBNK), Telipot, baru-baru ini.

Perseorangan wanita, N Saranya memberikan mata pertama setelah menumpaskan Lim Jin Ning 21-14,21-10 disusuli pasangan Mohd Nur Aidil Adha Azman dan Man Wei Chong mudah mengatasi Ch’ng Choo Han/Choong Hon Jian, 21-14,21-16 dalam masa 25 minit untuk menjadikan kedudukan 2-0.

Pasukan Pulau Pinang tetap berpuas hati biarpun sekadar muncul naib juara.

Perseorangan lelaki Pulau Pinang, Sim Fong Hau berjaya merapatkan jurang apabila mengalahkan Aidil Sholeh Ali Shadikim (21-18,19-21,22-20) tetapi K Jhotiswaran kembali memastikan kedudukan 3-1 biarpun diheret oleh Loo Bin Kun beraksi dalam pertarungan tiga set sebelum menang 14-21,21-16, 21-11.

Perseorangan wanita kedua, K Letshanaa akhirnya mengesahkan mata kemenangan buat Selangor apabila mudah menjinakkan Tan Sze Ting 21-10,21-9 hanya dalam tempoh 23 minit.

http://polopoly.karangkraf.com:8080/polopoly/polopoly_fs/1.722232.1503298281!/image/image.jpg

Naharuddin (dua, kanan), timbalan presidennya, Ahmad Zulkifli Yaacob (kanan) dan Rahimi (kiri) bersama pemain Sabah yang meraih tempat keempat keseluruhan.

Sementara itu, Johor menduduki tempat ketiga dengan menumpaskan Sabah 4-1 pada kejohanan yang turut disertai 14 negeri termasuk Kuala Lumpur, Sarawak dan Kedah.

Terdahulu, pada saingan separuh akhir, Pulau Pinang membenam Sabah 4-2 manakala Selangor yang meraih pencapaian ketiga terbaik tahun lalu menang 4-0 ke atas Johor sekali gus membolehkan kedua-dua pasukan melangkah pentas akhir.

Pasukan Johor menduduki tempat ketiga terbaik.

Tuan rumah, Kelantan yang diundi bersama kuasa besar, Selangor dan Pulau Pinang sekadar menduduki tempat ketiga peringkat kumpulan setelah tewas dua kali dan menang sekali ke atas Pahang serta gagal melangkah ke suku akhir.

Hadiah disampaikan Bendahari Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk V Subramaniam.

Hadir sama Presiden PBNK, Dr Naharuddin Hashim dan Penolong Pengarah Pentadbiran / Atlet Majlis Sukan Negeri (MSN) Kelantan, Tuan Aziz Tuan Mat.

Subramaniam diiringi Naharuddin menyampaikan trofi kejuaraan kepada jurulatih pasukan Selangor.