IPOH -  Pasukan bola baling Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Rambutan mengukuhkan kedudukan sebagai pasukan paling digeruni di Kinta Utara apabila muncul juara dalam Kejohanan Bola Baling Majlis Sukan-sukan Daerah (MSSD) bagi Zon A.

Kejayaan menewaskan tujuh pasukan dari tujuh sekolah lain itu, mengulangi kejuaraan sama yang direkodkan tahun lalu.

Jurulatih pasukan, Mohd Azmir Ab Rahman berkata, pencapaian itu didorong disiplin tinggi ditunjukkan kesemua 12 pemain yang sentiasa memberikan persembahan terbaik dari awal latihan dijalankan.

Menurutnya, bagi memantapkan gerakan dan corak permainan pasukan, mereka turut mendapatkan khidmat jurulatih luar.

“Pasukan ini menjalani latihan selama dua jam, dua kali seminggu, namun apabila menghampiri kejohanan, tempoh kekerapan latihan akan ditingkatkan.

“Bagi memastikan keyakinan pemain berada di tahap tertinggi, kita juga adakan perlawanan persahabatan dengan sekolah-sekolah lain dan juga bekas pemain dari sekolah ini sendiri,” katanya.

Beliau berkata, sasaran pasukan kini untuk memburu kejuaraan di peringkat daerah.

“Kita juga berharap, lebih ramai pemain dari sekolah ini dipilih untuk mewakili negeri nanti,” katanya.

Latihan dan disiplin tinggi menjadi kunci kejayaan pasukan bola baling SMK Tanjong Rambutan.

Menewaskan pasukan dari SMK Jati pada perlawanan akhir.

SMK Tanjong Rambutan muncul juara Kejohanan Bola Baling MSSD Kinta Utara.