SETIU - Pasukan bola sepak Sekolah Sukan Terengganu Bukit Nenas yang mewakili negeri Terengganu, sudahpun bersiap sedia menghadapi Liga Remaja Kementerian Pendidikan (KPM)-FAM bawah 17 tahun.

Pasukan itu akan bertemu pasukan Kedah dari Sekolah Sukan Kedah September depan di Mini Stadium Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Anum, Kedah.

Pengetua Sekolah Sukan Terengganu Bukit Nenas, Mohd Shariff Ab Latif berkata, pasukan itu berjaya mara ke separuh akhir pertama dan akan menentang Kedah.

“Kami mahu kekalkan kejuaraan tahun lalu dalam liga sama dan berharap ia menjadi kenyataan, tambahan pula dengan adanya barisan yang menjadi juara dalam Kejohanan Bola Sepak Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2017, yang berlangsung pada 11 Ogos lalu di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang menguatkan lagi pasukan ini.

“Seramai sembilan pemain bola sepak sempena Kejohanan Sukan Bola Sepak MSSM 2017 yang berlangsung Jumaat lalu, adalah dari sekolah ini (Sekolah Sukan Terengganu Bukit Nenas).

“Barisan pemain utama ini (9 orang) juga akan dibawa turun ke gelanggang untuk menentang Kedah pada Liga Remaja KPM-FAM nanti,” katanya.

Kini pasukan itu giat menjalani latihan di bawah pengawasan jurulatih, Zainudin Mohd Zin dan Asmawi Sulong.

Latihan diadakan setiap hari pada waktu pagi dan petang mengikut hari yang ditetapkan supaya pemain mempunyai stamina yang cukup bagi menentang pihak lawan pada liga itu nanti.

Mohd Shariff berkata, banyak lagi kejohanan dan kejayaan yang akan dijulang sejajar dengan tertubuhnya Akademi Bola Sepak Terengganu di sekolah itu sejak tahun ini.