JELI - Pasukan Bola Tampar Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Balah mungkin tidak perlu diperkenalkan lagi dalam kalangan pasukan- pasukan bola tampar di daerah  ini.

Namanya sudah cukup dikenali lebih-lebih lagi selepas kejayaan demi kejayaan dilakar pasukan berkenaan sejak 2014 hingga kini.

Pasukan berkenaan pernah beberapa mewakili PPD Jeli ke peringkat negeri dan  kebangsaan sebelum ini menyebabkan  namanya menjadi sebutan dalam kalangan warga pendidik di daerah ini.

Di sebalik kejayaan dilakar pasukan bola tampar berkenaan, pastinya ada seseorang yang menjadi tulang belakang  dalam menyumbang keringat sehingga membolehkan ia berada pada tahap hari ini.

Pastinya individu berkenaan bukan calang-calang orang apabila berjaya mengubah status pasukan  berkenaan daripada 'bukan siapa- siapa' kepada pasukan  disegani dan digeruni kawan serta lawan.

Raja Mohd Rusdi Raja Hasan yang juga jurulatih pasukan bola tampar sekolah  berkenaan dikatakan antara individu  bertanggungjawab mengubah status pasukan berkenaan sejak diberi mandat membimbing pasukan tersebut.

Raja Mohd Rusdi berkata, tiada yang istimewa di sebalik dirinya selain memberikan tunjuk ajar dengan sabar dan bersungguh- sungguh.

"Saya hanya menggunakan ilmu dan  kemahiran yang ada untuk membimbing mereka, selebihnya ia datang dalam diri pemain itu sendiri.

"Perkara pertama yang sering saya  tekankan ialah memastikan pemain minat dengan permainan mereka, bagi memudahkan proses bimbingan," katanya yang mesra dipanggil Cikgu Raja.

Kena minat, faham baru kuasai permainan Raja Mohd Rusdi berkata, bagi memudahkan pemain menguasai permainan dengan baik, beliau akan memastikan mereka memahami teknikteknik permainan diajar.

"Dalam sukan, selain minat pemain kena faham konsep permainan supaya mereka lebih mudah menguasai apa yang diajar seterusnya diaplikasikan dengan baik,  baru timbul keseronokan.

"Bila sesuatu aktiviti dilakukan dalam keadaan seronok hasilnya lebih positif,"  katanya.

Raja Mohd Rusdi yang juga jurulatih Pasukan Bola Tampar Sekolah  Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Balah berkata, permainan bola tampar sudah sebati dengan dirinya kerana pernah mewakili Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) ketika menuntut di Universiti Kebangsaan Malaysia suatu ketika dahulu.

Mengulas mengenai tempoh seseorang untuk menguasai permainan, Raja Mohd Rusdi berkata, pemain yang langsung tidak mempunyai asas biasa memerlukan masa enam bulan sebelum membolehkannya menguasai permainan bola tampar.

Bercerita mengenai pengalaman paling manis sepanjang bergelar  jurulatih, Raja Mohd Rusdi berkata,  kejayaan pasukan bola tampar bimbingannya ke peringkat
kebangsaan dua tahun lalu antara yang tidak dapat dilupakan hingga saat ini.

"Peluang mewakili Kelantan ke peringkat kebangsaan bagi kategori bawah 18 tahun (lelaki) memang  kenangan paling manis buat saya, kepuasan yang sukar  diungkapkan ketika itu," katanya.