Pasukan sukan ragbi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Batu Pahat, Highlanders HSBP merancang untuk menjuarai beberapa kejohanan antarabangsa pada tahun hadapan, termasuklah perlawanan ragbi kategori perdana.

Pada tahun 2017 ini, pasukan ragbi berkenaan berjaya merangkul gelaran naib juara kategori yang sama, iaitu Super KGV 10’s, selain menjadi Johan pada satu lagi kejohanan antarabangsa iaitu Allied Pickford Cup15’s.

Penyelaras Highlanders HSBP, Mohd Hasrol Baharom berkata, dalam masa sama, bagi menguatkan pasukan berkenaan, pihak pentadbiran sekolah turut merancang satu program menimba ilmu di luar negara, terutama di New Zealand yang terkenal dengan kemahiran sukan berkenaan.

Katanya, pada tahun ini dengan kerjasama Pengetua, Kuswandi Tayen, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Sarana Ibu Bapa, Old Boys HSBP, Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta Persatuan Ragbi Johor dan Malaysia, Highlanders HSBP telah menimba ilmu di Australia, melalui Road to Sydney 2017.

“Lebih membanggakan setelah menyertai lebih kurang 20 perlawanan di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa selain menempa beberapa kejayaan, Highlanders HSBP telah tersenarai dalam Program Pembangunan Ragbi Negara (NRDP).

“Dalam masa yang sama bagi menguatkan pasukan ragbi sekolah ini yang telah menjalani penjenamaan semula pada tahun 2016, kami juga mengadakan kolaborasi dengan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI).

“Untuk pengetahuan, pasukan Highlanders HSBP ini mempunyai lima ‘t eam’ iaitu bawah 18 tahun, bawah 16 tahun, bawah 15 tahun, bawah 14 tahun dan pasukan pelapis iaitu bawah 13 tahun,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Selain Mohd Hasrol yang bertindak sebagai penyelaras dan guru penasihat, pasukan berkenaan juga dikuatkan oleh Pengurus, Mohamad Azlan Roseli; Penolong Pengurus, Amri Bahari dan Abdul Hadi Abdullah; Jurulatih, Mohd Hamka Nizam Mohd Rosni serta Pembantu Jurulatih, Ahmad Faiz Mohd Ghawi.