SEREMBAN - Seramai 48 peserta menyertai Kejohanan Bola Tampar Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Negeri Sembilan, yang diadakan di Kompleks Sukan Paroi, baru-baru ini.

Kejohanan tersebut disertai peserta berumur bawah 12, 15 dan 18 tahun dari seluruh sekolah menengah dan rendah daerah Tampin.

Buat kali ketiga, pasukan Tampin menjuarai kejohanan tersebut dengan membolot semua kategori yang dipertandingkan.

Pemain yang cemerlang akan dipilih untuk menyertai kejohanan di peringkat kebangsaan di Perak pada Ogos ini.

Pengerusi Teknik Pasukan Tampin, Mohd Hazrin Hashim berkata, kejohanan ini merupakan acara tahunan yang akan diadakan bagi mencari bakat dan pelapis baharu dalam sukan bola tampar.

Katanya, bukan sahaja akademik, sebaliknya kecemerlangan kokurikulum juga perlu diberi perhatian dalam melahirkan modal insan yang berkualiti.

“Bagi melahirkan pelajar yang cemerlang dan berdaya saing bukan sahaja perlu bijak dalam pelajaran sebaliknya ia perlu diseimbangkan dengan aktiviti luar kelas.

“Kejohanan ini merupakan satu acara yang diadakan di peringkat daerah bagi melahirkan generasi muda serta mencari pelapis baru untuk masa depan,” katanya.