HULU TERENGGANU - Karnival Hoki Bawah 11 Tahun (Lelaki) Terbuka Sekolah Kebangsaan (SK) Getang 2017 yang berlangsung di padang hoki sekolah berkenaan, di sini menyaksikan pasukan tuan rumah berjaya membuktikan kehebatan mereka bagi menggondol gelaran juara karnival berkenaan.

Bertemu pasukan SK Wakaf Mempelam, Kuala Terengganu di pentas akhir, pasukan hoki SK Getang menundukkan lawan dengan keputusan 2-0 sekali gus membolehkan pasukan tuan rumah membawa pulang hadiah berupa medal.

Pasukan hoki SK Pusat Chabang Tiga.

 

Karnival kelolaan SK Getang dengan kerjasama Majlis Sukan Sekolah Daerah Hulu Terengganu (MSSDHT) dan Sekolah-sekolah Kebangsaan Daerah Hulu Terengganu itu turut menyaksikan tempat ketiga bersama menjadi milik pasukan hoki SK Pusat Chabang Tiga serta SK Bukit Gemuroh.

Penganjuran karnival hoki melibatkan keseluruhan penyertaan enam pasukan itu merupakan kesinambungan karnival hoki diadakan pada tahun sebelum ini bertujuan mencungkil bakat dalam kalangan pemain sukan hoki sekali gus perkembangkan potensi dan kemahiran pemain dalam arena sukan tersebut.

Ia juga bagi menyumbang kecemerlangan dalam sukan hoki di peringkat yang lebih tinggi dan karnival edisi kali ini disempurnakan perasmian penutupnya oleh Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Terengganu (Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan), Mohd Yusof Embong.

Pasukan hoki SK Pusat Chabang Tiga.

 

Sementara itu, Guru Besar SK Getang, Tan Woon Su berkata, kemenangan itu diharapkan terus menjadi suntikan semangat bagi pemain untuk terus melakukan yang terbaik bagi mencapai kejayaan demi kejayaan sehingga ke peringkat lebih tinggi bukan sahaja mewakili sekolah semata-mata tetapi pada masa depan barisan pemain sendiri.

Menurutnya, penganjuran karnival sedemikian juga bagi menjadikan SK Getang sebagai ‘niche area’ bagi permainan hoki selain mengeratkan perpaduan dan kerjasama sekolah-sekolah sekitar di sekolah luar daerah Hulu Terengganu.

Pemain pasukan jemputan, SK Wakaf Mempelam memberikan pose istimewa di hadapan lensa Sinar Harian.

 

“Harapan saya supaya karnival hoki seperti ini dapat mencungkil seberapa ramai pemain hoki untuk diketengahkan ke peringkat daerah, negeri dan negara.

"Permainan hoki salah satu daripada permainan Sukan Teras Negara yang berpotensi mencapai kejayaan cemerlang di peringkat antarabangsa," katanya.

Sehubungan itu katanya, permainan itu perlu dipupuk dari peringkat awal lagi untuk mencungkil bakat khususnya dalam kalangan murid sekolah.

"Penganjuran karnival hoki diadakan di SK Getang ini salah satu usaha yang dilakukan.

Pemain menyaksikan pasukan yang berentap.

 

“Karnival ini sebenarnya telah mempunyai nilainya yang tersendiri dan penyertaan lima pasukan terdiri daripada empat sekolah dalam daerah Hulu Terengganu serta dua pasukan jemputan luar iaitu sekolah dalam daerah Kuala Terengganu,” katanya.

Untuk rekod, pasukan terlibat ialah SK Getang selaku tuan rumah, SK Bukit Gemuruh dan SK Tengku Ampuan Intan, manakala pasukan jemputan ialah SK Wakaf Mempelam serta SK Pusat Chabang Tiga.

Pemain pasukan jemputan, SK Wakaf Mempelam memberikan pose istimewa di hadapan lensa Sinar Harian.