PEMANAH Sekolah Sukan Malaysia Pahang, Muhammad Azmi Muhammad Rafeek berjaya mengungguli edisi sulung Kejohanan Memanah Remaja Kebangsaan PNBD 2017 selepas menewaskan pemanah dari Kelab Memanah Hulu Langat, Muhammad Syazwan Akif Saifol Bakhri dalam penentuan pingat Emas kategori lelaki bawah 15 tahun.

Muhammad Azmi jelas sekali berada dalam prestasi terbaik apabila membidik dengan begitu yakin untuk mencatat kemenangan 6-2 bagi pulang dengan pingat Emas dan wang tunai RM300.

Syazwan pula sekadar berpuas hati dengan pingat Perak dan wang tunai RM200.

Gangsa milik pemanah Maktab Rendah Sains Mara Alor Gajah, Muhammad Afham Marzuki Amirdin.

Pertama kali sertai kejohanan terus juara

Azmi yang ditemui selepas kejohanan berkata, kejohanan itu adalah yang pertama kali disertai dan begitu bermakna apabila bergelar juara.

“Syukur dapat menjuarai kejohanan yang kali pertama dianjurkan ini, ia memberikan saya motivasi tambahan untuk lebih berjaya dalam sukan memanah selepas ini,” jelasnya.

Sementara itu, Fya Arissa Baharom yang mewakili Kelab Memanah Seri Pagi turut cemerlang apabila dinobatkan pemenang pingat Emas selepas mengatasi Nurul Azeera Mohd Faizal dari Kelab Memanah Sasar dengan kemenangan 6-2.

Kejayaan manis ini dibantu persembahan konsisten sepanjang 2 hari kejohanan yang bermula pada Sabtu, 13 Mei 2017.

Fya Arissa yang ditemui melahirkan rasa teruja biarpun beraksi dalam cuaca panas.

“Memang tak sangka boleh menang. Saingan sengit daripada pencabar lain. Ini merupakan penyertaan sulung saya di kejohanan peringkat kebangsaan. Latihan keras selama ini berbaloi akhirnya. Saya tekad memasang impian mewakili negara satu hari nanti,” katanya.

Juara kategori Lelaki dan Wanita Bawah 15 tahun Individu menjadi milik Muhammad Azmi dan Fya Arissan.

Saingan sengit

Kategori lelaki dan perempuan bawah 12 tahun turut berlangsung sengit dengan pingat emas dimenangi pemanah dari Bj Wolfpack, Muhaimin Mohd Farid, menewaskan A’zat Faris Fathulla dalam penentuan pingat Emas.

Muhaimin nyata berada dalam kelas tersendiri apabila mengatasi A’zat dengan kemenangan 7-3, Gangsa dimenangi Ahmad Irfan Ajnizar dari Kelab Memanah Hulu Langat.

Bagi kategori perempuan pula, pemanah dari Kelab Memanah Hulu Langat, Nur Ieka Hariesya muncul pemenang, menewaskan Tengku Aisyah Rohani dari Bj Wolfpack dalam perlawanan akhir dengan mata 6-0.

Nur Ieka Hariesya pulang dengan hadiah wang tunai RM300 selaku pemenang pingat Emas.

 Hulu Langat B menerajui kategori berpasukan lelaki bawah 15 tahun.

Gandingan mantap

Kejohanan Memanah Remaja Kebangsaan PNBD ini yang terbuka kepada pelajar lelaki dan wanita berusia bawah 12 tahun serta 15 tahun, membabitkan kategori Recurve 30 meter (M) individu dan berpasukan.

Hadiah kepada pemenang disampaikan Pengurus Besar Operasi PNB Development Sdn.Berhad, Ir Wan Azian Wan Yusoff dan Ketua Pembangunan Perbandaraan Kota Seriemas, Saiful Ibrahim di Padang Bola Sepak Laman Cempaka, Kota Seriemas.

Kejohanan anjuran PNBD selaku penaja utama mendapat kerjasama daripada Persatuan Memanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Pasukan Sasar Alpha ternyata unggul menewaskan SMK Kampung Baru Si Rusa untuk gelaran juara wanita berpasukan bawah 15 tahun.

KEPUTUSAN KEJOHANAN

Bawah 12 Tahun Lelaki Individu

1. Muhaimin Mohd Farid

(Bj Wolfpack – EMAS )

2. A’zat Faris Fathulla

(Gege Archery Club – PERAK)

3. Ahmad Irfan Ajnizar

( Hulu Langat – GANGSA )

Bawah 12 Tahun Perempuan Individu

1. Nur Ieka Hariesya

(Hulu Langat – EMAS)

2. Tengku Aisyah Rohani

(Bj Wolfpack – PERAK)

3. Qashrin Damia Mohd Qassim Fitri

(Hulu Langat – GANGSA)

Bawah 12 Tahun Lelaki Berpasukan

1. Pro Ace (EMAS)

2. Gege Archery Club (PERAK)

3. Bj Wolfpack (GANGSA)

Bawah 12 Tahun Perempuan Berpasukan

1. Bj Wolfpack (EMAS)

2. Hulu Langat (PERAK)

3. Nadi Archery (GANGSA)

Bawah 15 Tahun Lelaki Individu

1. Muhammad Azmi Muhammad Rafeek (Sek Sukan Malaysia Pahang – EMAS)

2. Muhammad Shazwan Akif Saifol Bakhri (Hulu Langat – PERAK)

3. Muhammad Afham Marzuki Amirdin (MRSM Alor Gajah – GANGSA)

Bawah 15 Tahun Wanita Individu

1. Fya Arissan Baharom (Seri Pagi Archery – EMAS)

2. Nurul Azreena Mohd Faizal (Sasar – PERAK)

3. Aisyah Najihah Mohd Azizul (Sasar – GANGSA)

Bawah 15 Tahun Lelaki Berpasukan

1. Hulu Langat B (EMAS)

2. Sekolah Sukan Malaysia Pahang (PERAK)

3. Bj Wolfpack (GANGSA)

Bawah 15 Tahun Wanita Berpasukan

1. Sasar ALPHA (EMAS)

2. SMK Kampung Baru Si Rusa (PERAK)

3. Seri Pagi Archery (GANGSA)