PERAK mengejutkan juara bertahan, Terengganu dalam perlawanan akhir kejohanan hoki 1Mas-MSN-KPM-Milo bawah 16 tahun di Stadium Hoki Kuala Lumpur, kelmarin.

Jaringan Affiful Najmi Mohd Masri minit ke-25 sudah cukup untuk Perak merakam gelaran keempat selepas pernah muncul juara tiga kali pada 2006,2007 dan 2013.

Manakala, Terengganu terpaksa berputih mata dan gagal untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenanginya itu tahun lalu.

Sementara itu, bagi kategori perempuan, Kuala Lumpur melakukan kebangkitan dramatik ketinggalan dua gol untuk membenam Sabah 4-3.

Bagi pengendali Kuala Lumpur, A Kannagi, beliau menyifatkan pemainnya berhak untuk memperoleh kejayaan tersebut selepas bersemangat mencipta gol demi gol.

“Ia bukan mudah untuk menumpaskan Sabah yang begitu dahagakan kejuaraan ini. Mereka (Sabah) datang sebagai pilihan untuk memenangi kejohanan ini.

“Saya bangga dengan cara pemain mengejar dua gol yang mereka lepaskan dan cuba cari empat gol bagi mengesahkan kejuaraan,” katanya.

 

Pemain Sabah gagal memanfaatkan peluang mendahului dua gol.

Kannagi juga memberi bayangan pemainnya akan terus kekal dalam kesebelasan tahun hadapan dan akan cuba hadir dengan semangat lebih baik musim hadapan.

“Ini adalah kemenangan yang memerlukan pengorbanan tinggi daripada pemain. Mereka tidak kenal erti penat dan putus asa. Jadi mereka berhak untuk kekal dalam pasukan,” katanya.

Dalam perlawanan itu, Sabah membuka jaringan menerusi Cyra Cynthia Anis pada minit ke-11 dan Inka Shafika Juani melebarkan kedudukan tiga minit kemudian.

Bagaimanapun, Kuala Lumpur memperkemaskan jentera serangan dan hasilnya berjaya mengurangkan defisit kepada satu gol seminit selepas itu melalui jaringan Nur Syaza Afiqah sebelum Nur Suraya Athira M Zuraimi menyamakan kedudukan dua minit selepas itu.

Namun selepas itu, Sabah terus menguasai permainan dan Kuala Lumpur ketinggalan sekali lagi menerus Cynthia pada minit ke-33. Kuala Lumpur tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan menerusi Hasya Syahida Saifuddin dan pemain berusia 14 tahun, Kirandeep menyempurnakan kemenangan Kuala Lumpur menerusi gol pada penghujung suku ketiga permainan.

Manakala, penyandang juara tahun lalu untuk kategori perempuan, Selangor hanya sekadar berpuas hati di tangga ketiga.

Pemain Sabah gagal memanfaatkan peluang mendahului dua gol.

KEPUTUSAN AKHIR (LELAKI) :

Perak 1 Terengganu 0

3&4: Pahang 2 Sabah 1

5&6: Melaka 2 Negeri Sembilan 0

Pemain terbaik (Akhir): Muhammad Afiq Iqbal (Perak)

Penjaga gol terbaik: Ahmad Zihni Baniyamin (Kelantan)

Penjaring terbanyak: Muhammad Syabil Aizam Mohd Noor (Selangor)

Pemain terbaik: Syarman Mat Tee (Terengganu)

Fairplay: Melaka

 Pemain Perak cuba melepasi kawalan pemain Terengganu.

AKHIR (PEREMPUAN):

Kuala Lumpur 4 Sabah 3

3&4: Selangor 3 Johor 1

5&6: Pulau Pinang 5 Negeri Sembilan 0

Pemain terbaik (akhir): Hasya Syahida Saifuddin

Pemain terbaik: Nor Asfarina Isahyifiqa (Sabah)

Penjaga gol terbaik: Siti Zalia Nasir (Kuala Lumpur)

Penjaring terbanyak: Siti Nor Arfah Mohd Nor (Pulau Pinang – 12 Gol)

Fairplay: Johor

Pemain Perak meraikan jaringan gol.