PERAK berada di landasan terbaik dalam melahirkan lebih ramai jaguh sepak takraw di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa pada masa depan.

Ini terbukti selepas pasukan itu berjaya mengekalkan status juara keseluruhan Kejohanan Sepak Takraw Majlis Sukan Sekolah Malaysia  (MSSM) 2016 yang berakhir, baru-baru ini.

Dalam kejohanan itu, anak didik Ku Jasiman Ku Ismail mengumpul 51 mata sambil  meraih tiga pingat emas berpasukan dan antara regu Kategori Bawah 18 Tahun serta Berpasukan Bawah 12 Tahun.

Kejayaan berkenaan sudah memadai untuk membuktikan reputasi unggul Perak di  antara 14 kontinjen yang bertanding sepanjang kejohanan lima hari itu.

Bagi Pengerusi Teknikal Pembangunan Sukan Perak, Mohd Nasir Abd Rasid kejayaan diraih skuad kendalian Ku Jasiman adalah hasil pelaburan sejak empat tahun lalu.

Menurutnya, hasil didikan dan latihan berterusan pemain Perak menunjukkan kematangan setiap kali turun beraksi. "Sasaran kita (pertahan kejuaraan) sudah tercapai.

Kejayaan ini tidak datang bergolek tanpa hasil usaha dan kerja keras semua pihak.

"Jurulatih dan pemain masing-masing memainkan peranan mereka. Kita gembira dengan pencapaian ini,"  katanya.

Enggan dabik dada BAGAIMANAPUN, Mohd Nasir sedar misi mempertahankan kejuaraan pada edisi tahun depan bukan satu tugas mudah.

Justeru, dia mengingatkan pemain remaja Perak supaya tidak terbawa-bawa dengan kejayaan tersebut sebaliknya terus mengekalkan momentum selain mempertajamkan skil sedia ada.

Semua wakil negeri yang bertanding kali ini bagus-bagus. Mereka menghantar bakat- bakat muda dan pemain inilah yang selalunya akan mewakili negara satu hari nanti.

"Kalau kita tengok, dalam Kejohanan Piala Emas Khir Johari pasukan muncul johan itu adalah mereka yang pernah beraksi di kejohanan MSSM 2010.

"Jadi, saya pun berhasrat untuk melihat pasukan Perak dapat pertahan kejuaraan,"  katanya.

Pada masa, Mohd Nasir mahu melihat pemain Perak dipilih mewakili negara dalam Asian School Games di  Thailand sekitar Julai nanti. "Bukan itu sahaja, saya harap pemain B-18 ini dipilih mewakili Perak dalam temasya Sukma yang diadakan di Sarawak, Julai ini," katanya.