ALOR GAJAH - Kelab Bola Sepak Taming Sari yakin beberapa perlawanan persahabatan yang disertai mampu meningkatkan kemahiran pemain sepasukan, selain mengeratkan silaturahim di antara satu sama lain.

Jurulatih Taming Sari FC, Zulhakimi Zahari berkata, menerusi perlawanan tersebut, ia dapat menilai tahap sebenar pasukan dan mengenal pasti segala kelemahan pemain yang boleh diperbaiki dan diambil perhatian.

“Menang atau kalah itu adalah adat pertandingan. Paling penting pemain dapat mengenali dan menjalinkan hubungan baik di antara satu sama lain.

“Inisiatif kelab ini juga memberi ruang kepada remaja dan belia mengisi masa lapang dengan aktiviti yang berfaedah. Secara tak langsung dapat meningkatkan mutu permainan bola sepak di negeri ini khususnya dalam kalangan pemain di peringkat akar umbi,” katanya selepas perlawanan bola sepak di sini, baru-baru ini.

Menurut Zulhakimi, pada perlawanan itu mereka diuji bertemu dengan pasukan Wira Kota dalam perlawanan kategori bawah 16 tahun, dengan kerjasama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), Klebang Besar, Melaka.

Tambahnya, meskipun menang dengan jaringan besar 5-1 pada perlawanan tersebut, namun yang lebih penting ia memberi pengalaman berharga dalam mematangkan pemain, untuk beraksi pada perlawanan yang lebih kompetitif.

“Selepas ini kita akan teruskan di daerah Alor Gajah. Perlawanan persahabatan ini berlangsung dengan semangat setia kawan yang tinggi. Diharap ia dapat beri perkembangan positif kepada pasukan untuk menghadapi perlawanan akan datang.

“Usaha kita untuk bersama mencatatkan misi Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (Musa), dengan slogan Bola Sepak Melaka Balik Macam Dulu, agar semangat kesukanan terutama bola sepak terus membara di hati rakyat negeri ini,” katanya.