Pasukan Petanque Sabak Bernam muncul juara pada Kejohanan Pesta Sukan dan Kebudayaan Perkhidmatan Pendidikan (PSKPP) Negeri Selangor di Gelanggang Petanque Kolej Komuniti Kuala Langat, Banting, di sini.

Pengurus pasukannya, Mohd Ashari Abdul Kadir berkata, sebanyak 10 pasukan bertanding mewakili pejabat pendidikan daerah (PPD) di negeri ini.

Menurutnya, pasukannya di bawah bimbingan jurulatih Mohd Jamil Abdul Rahman dan Sazuna Abdul Wahid menyertai semua kategori dipertandingkan iaitu acara perseorangan, beregu dan bertiga sepasukan bagi lelaki dan wanita dan beregu campuran.

“Bagi acara wanita, pasukan kita muncul johan bagi acara beregu dan bertiga sepasukan manakala pasukan lelaki pula berjaya mendapat tempat ketiga dalam acara bertiga sepasukan dan tempat keempat acara beregu.

“Kemenangan pasukan dalam acara berugu campuran sebagai johan mengesahkan pasukan petanque daerah Sabak Bernam muncul sebagai juara keseluruhan kejohanan pada tahun ini,” katanya.

Menurut Mohd Jamil, kesemua pemain wanita pasukan itu akan mewakili negeri Selangor dalam kejohanan PSKPP peringkat kebangsaan pada Disember ini di Port Dickson, Negeri Sembilan.