KEJOHANAN bola sepak Piala Mokhtar Dahari 2018 bakal menyaksikan 32 pasukan bawah 18 tahun dari seluruh Selangor akan berentap merebut kejuaraan.

Kejohanan edisi kelima tahun ini telah memulakan tirainya pada 17 April lalu yang telah melibatkan sekolah seluruh negeri ini yang dipilih menerusi Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD).

Antara objektif utama kejohanan ini adalah untuk mencungkil dan melahirkan bakat baharu dalam kalangan pemain bola sepak remaja yang akan diketengahkan sebagai pemain negeri seterusnya mengembalikan kegemilangan pasukan Selangor khususnya dan Malaysia amnya.

Dalam aksi pembuka tirai merebut Piala Sumbangsih baru-baru ini, SMK Tinggi Kajang berjaya menewaskan SMK Dato Harun Tg Karang dengan kemenangan tipis 1-0.