Piala Supermokh kali ini berjaya tarik penyertaan akademi ternama dunia

KALENDAR Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) tahun ini akan melabuhkan tirainya dengan penganjuran kejohanan antarabangsa Piala SuperMokh berlangsung selama lapan hari berakhir 18 Disember ini dengan penyertaan akademi ternama dunia seperti Sporting CP, Paris Saint- Germain (PSG) dan Manchester City.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PPBN, Safirul Azli Abu Bakar, penyertaan akademi ternama dunia pada edisi kali ini adalah hasil daripada jaringan hubungan yang kuat antara PPBN
dengan akademi bertaraf antarabangsa di seluruh dunia.

“Setiap kali kami lakukan siri perlawanan persahabatan di peringkat Eropah mahupun Asia, sudah pasti kami tidak pergi atas nama perlawanan bola sepak semata-mata, malah ia lebih
dari itu.

"Saban tahun, hubungan PPBN dengan akademi ternama dunia semakin erat, secara tidak langsung kami mempromosikan inisiatif kami bagi menarik minat mereka," katanya.

Kata beliau, sudah tentu dengan penyertaan akademi ternama pada kali ini akan meningkatkan lagi mutu pertandingan dan umum akan disajikan dengan persembahan serta pertembungan bakal bintang dunia, sekali gus dapat berkongsi manfaat dengan pasukan tempatan.

Safirul turut mengesahkan penyertaan skuad tempatan sebanyak empat pasukan bagi kategori bawah 12 tahun dan enam pasukan bagi kategori bawah 14 tahun.



ELEMEN MENARIK

DALAM pada itu, Safirul turut menyatakan bahawa penglibatan pasukan dari Eropah akan menambah satu elemen yang menarik di dalam penganjuran Piala SuperMokh edisi kali ini.

“Umum sudah mengetahui apabila skuad elit B-13 ke Jelajah Eropah pada tahun lepas, mereka telah menewaskan Sporting CP dalam perlawanan akhir Piala Iber Costa Del Sol dengan
jaringan 2-1.

“Namun, selepas itu mereka tewas di tangan kelab Perancis, PSG di suku akhir Piala Iber Estoril. Kedua-dua kelab ini akan turut serta dalam edisi Piala SuperMokh kali ini,
seolah-olah meneruskan perseteruan mereka sebelum ini,” katanya.

Kata beliau, penampilan semula Manchester City dari England bagi edisi tahun ini sebagai juara bertahan Piala SuperMokh kategori B-13.

Berbeza dengan edisi sebelumnya, penganjuran Piala SuperMokh pada tahun ini mengekalkan kategori bawah 12 tahun, manakala kategori bawah 14, diperkenalkan menggantikan kategori bawah 13 tahun yang dianjurkan pada tahun lalu.

Sebanyak 16 pasukan akan bertanding di dalam kategori bawah 12 tahun dan 20 pasukan bertanding dalam kategori bawah 14 tahun.

Padang sintetik Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil dipilih sebagai gelanggang akhir kejohanan, selain gelanggang lain iaitu Kompleks Sukan Panasonic Shah Alam, Akademi Maybank
Bangi, TSI Arena Cyberjaya, dan Padang UiTM-Perindu Shah Alam melengkapkan senarai gelanggang kejohanan yang akan bermula akan bermula pada Isnin (12 Disember 2016) dan
perlawanan akhir pada Ahad (18 Disember 2016).


Pasukan yang bertanding

KATEGORI BAWAH 12 TAHUN

1. Malaysia Cougars
2. Malaysia Panthers
3. Malaysia Tigers
4. NFDP Terengganu (Malaysia)
5. Foolad Mobarakeh Sepahan (Iran)
6. Evergrande Football School (China)
7. Saint Prima (Indonesia)
8. FF South Australia (Australia)
9. Buriram United (Thailand)
10. Byulnae FC (Korea Selatan)
11. Brunei
12. FC Bunyodkor (Uzbekistan)
13. Guri Junior FC (Korea Selatan)
14. FC Spartak Tashkent (Uzbekistan)
15. Gimpo JIJ FC (Korea Selatan)
16. Sporting CP (Portugal)

KATEGORI BAWAH 14 TAHUN

1. Malaysia Cougars B-14
2. Malaysia Panthers B-14
3. Malaysia Tigers B-14
4. Malaysia Cougars B-13
5. Malaysia Panthers B-13
6. NFDP Selangor (Malaysia)
7. Bangladesh
8. Foolad Mobarakeh Sepahan (Iran)
9. Thailand
10. Saswco FC (Indonesia)
11. Buriram United (Thailand)
12. FC Bunyodkor (Uzbekistan)
13. Seongnam FC (Korea Selatan)
14. Kawasaki Frontale (Jepun)
15. FC Seoul (Korea Selatan)
16. Shonan Bellmare (Jepun)
17. Paris Saint-Germain FC (Perancis)
18. Sao Paulo FC (Brazil)
19. Manchester City FC (England)
20. Sporting CP (Portugal)