SHAH ALAM- Pasukan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Subang Bestari (2) muncul juara keseluruhan sekali gus berjaya bawa pulang Piala Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Petaling Perdana pada Kejohanan Futsal dan Bola Jaring, 18 November lalu.

Pasukan itu berjaya mengalahkan 28 pasukan PIBG dari sekolah-sekolah lain di bawah Daerah Petaling Perdana yang berentap merebut kejuaraan dalam acara berlangsung di Triways Sport Center.

Naib juara kejohanan anjuran PPD Petaling Perdana itu disandang pasukan PIBG SK Taman Sri Muda.

Sebanyak 28 pasukan PIBG yang menyertai Kejohanan Futsal dan Bola Jaring.

Juara membawa pulang piala pusingan, hadiah wang tunai RM200 dan pingat. Bagi acara bola jaring kategori wanita, juara dimenangi pasukan PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) USJ 23 manakala tempat kedua dimenangi PIBG SK Subang Bestari (2). Juara membawa pulang piala pusingan, hadiah wang tunai RM200 dan pingat.

Pengurus pasukan PIBG SK Subang Bestari (2), Sani Awang berkata, latihan tanpa jemu membuahkan hasil.

“Terima kasih semua. Saya harap program sebegini dijadikan acara tahunan kerana erat silaturahim antara PIBG sekolah di sekitar Petaling Perdana,” katanya.